Taman Botani DiRaja pertama di Perak

Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing hari ini.
Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Kawasan sepanjang 5 kilometer itu akan dibangunkan dengan penanaman pelbagai jenis pokok sebagai Taman Botani DiRaja Kuala Kangsar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya berkata, ia merupakan taman botani diraja pertama di negeri ini hasil kerjasama strategik Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Sehingga kini, sebanyak 1,000 pokok antaranya 300 pokok Ara telah berjaya ditanam dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk institusi pendidikan.

"Diharap lebih banyak pihak akan tampil membantu Jabatan Perhutanan dalam usaha penanaman pokok seperti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan melawat tapak pameran pada program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing hari ini.
Sultan Nazrin berkenan melawat tapak pameran pada program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing hari ini.

Tema sambutan kali ini adalah Hutan dan Pendidikan selari dengan hasrat kerajaan negeri meningkatkan kesedaran rakyat jelata tentang kepentingan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Ahmad Faizal berkata, antara usaha digerakkan kerajaan negeri pada masa ini adalah memulakan Program Bantuan Peningkatan Ekonomi B40 menerusi Skim Insentif Penjualan Anak Pokok melibatkan komuniti orang asli di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah.

Katanya, program itu bagi membantu masyarakat orang asli menambah sumber pendapatan melalui penjualan anak pokok bagi tujuan penanaman di kawasan hutan ceroboh, terosot, kawasan selepas usahasil serta bagi kegunaan program-program pendidikan.

"Ini antara usaha mendidik orang asli melestarikan alam sekitar di samping menambah baik ekonomi mereka.

"Bagi melaksanakan program ini, Kampung Bersah, Kuala Mu telah dipilih sebagai perintis, kita mulakan di satu kawasan dahulu sebelum diperluas ke kawasan-kawasan lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan telah berjaya mengekal dan mengurus sejumlah 988,603.94 hektar kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal dengan 474,882.34 hektar sebagai hutan perlindungan dan 513,721.60 hektar sebagai hutan pengeluaran.

Katanya, bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar, hidupan liar, perlindungan tanah dan sumber bekalan air mentah yang mencukupi pula, sejumlah 474,882.34 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal telah diklasifikasikan sebagai Hutan Perlindungan di mana 295,400 hektar adalah sebagai Hutan Tadahan Air.

"Tahun lalu melalui Jabatan Perhutanan telah menyumbang kepada Hasil Negeri sebanyak RM56 juta melebihi sasaran awal sebanyak RM50 juta. Selain itu, jabatan juga telah melaksanakan Program Penghijauan melalui Aktiviti Penanaman Pokok sebanyak tiga juta dan melaksanakan 10 Program Hutan Sosial melibatkan masyarakat setempat dan orang asli.

"Alhamdulillah, tahun ini Jabatan Perhutanan negeri berjaya mengekalkan Pensijilan Pengurusan Hutan [MC&I (Hutan Asli)] bagi tempoh lima tahun lagi bermula 2019-2024 menjadikan Perak satu daripada lima negeri di Semenanjung Malaysia yang berjaya mengekalkan sijil itu," katanya.

Sultan Nazrin berkenan melakukan penanaman pokok pada program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing hari ini.
Sultan Nazrin berkenan melakukan penanaman pokok pada program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di pesisir tebing Sungai Perak Kampung Sayong Tebing hari ini.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyerahkan anak pokok kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak.

Baginda turut menyampaikan sijil program bantuan peningkatan ekonomi B40 kepada Tok Batin Kampung Bersah Kuala Mu, Hadu serta sijil penghargaan kepada Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir Setiawan dan Kuala Gula.