Mangsa banjir di Perak meningkat

APM membantu memindahkan kesemua mangsa banjir di Pulau Misa Melayu ke PPS Dewan Orang Ramai Teluk Kepayang semalam.
A
A

PARIT - Jumlah mangsa banjir di dua daerah di Perak meningkat kepada 265 orang berbanding 225 orang selepas sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Teluk Kepayang Bota Kiri di sini dibuka semalam.

Seramai 40 lelaki termasuk tiga kanak-kanak dari Pulau Misa Melayu dipindahkan PPS berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.6 meter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, kesemua penduduk dipindahkan akibat limpahan air Sungai Perak susulan hujan berterusan selama beberapa jam.

"Air mula naik pada jam 7 malam hingga paras lutut menyebabkan PPS dibuka di dewan berhampiran bagi menempatkan kesemua mangsa.

"Operasi pemindahan itu turut melibatkan pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis dan lain-lain lagi," katanya.

Menurutnya, keadaan terkini menunjukkan paras air makin surut dan pemantauan diteruskan dan memastikan kebajikan kesemua mangsa.

Pulau Misa Melayu merupakan pusat aktiviti kebudayaan tradisional seperti muzik, tarian dan peragaan busana Melayu.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan tidak menunjukkan perubahan pada jumlah mangsa iaitu 225 orang.

Mereka terdiri daripada 116 dewasa dan 109 kanak-kanak telah ditempatkan di PPS itu sejak Jumaat lalu.

Ia melibatkan penduduk dari Kampung Batu 9, Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Lorong Sidang Osman, Batu 8 dan Batu 6.