PDRM komited banteras aktiviti penyeludupan di sempadan

Abdul Hamid Bador
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) telah melaksana pelbagai pendekatan serta tindakan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ada antara pendekatan yang digunakan PGA jelas berkesan apabila pasukan itu berjaya merampas pelbagai barangan yang cuba diseludup antaranya daun ketum dan binatang eksotik.

"Tindakan daripada PGA telah mencatatkan kejayaan luar biasa, sudah berjuta barangan seludup dirampas malah ada juga pendatang tanpa izin ditahan.

"PDRM komited untuk membanteras segala bentuk aktiviti penyeludupan barang khususnya di sempadan negara. Apa pendekatan digunakan kami tidak boleh dedahkan," katanya.

Beliau berkata, setiap pegawai dan anggota perlu menjalankan tugas serta memberikan khidmat kepada masyarakat dengan penuh integriti.

"Pernah ada kes di mana ada individu cuba merasuah anggota PGA di Kelantan dan individu itu telah didakwa," katanya.

Tambahnya, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada anggota terlibat rasuah.

Semalam, Abdul Hamid dilaporkan berkata, sejak 2014, seramai 10 pegawai dan 33 anggota yang terbabit rasuah berkait kegiatan penyeludupan di sempadan telah dikenakan tindakan seperti ditahan kenaikan pangkat dan gaji.

Pada Jumaat lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya mendedahkan terdapat ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

Antara barang yang diseludup ialah minyak masak, bawang, baja, diesel, petrol dan barangan runcit yang murah di Malaysia berbanding negara jiran. - Bernama