X

Kindly register in order to view this article
!

Agong berkenan kurnia zakat kepada 500 keluarga asnaf

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan keperluan harian kepada 500 golongan asnaf sempena Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan keperluan harian kepada 500 keluarga terdiri daripada golongan asnaf di sekitar kawasan Lembah Pantai.

Pemberian sumbangan yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah itu bersempena program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019, di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu pada kira-kira jam 11.18 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Turut hadir dan menyambut ketibaan Seri Paduka ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee.

Pada program itu, Al-Sultan Abdullah turut menyampaikan sumbangan bantuan terdiri daripada pakaian persekolahan kepada anak-anak asnaf bernilai RM5.1 juta, Bantuan Am Persekolahan sejumlah RM9.82 juta serta Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebanyak RM12.45 juta, yang akan diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan kepada anak-anak asnaf sempena Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019 hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) berkenan mengurniakan sumbangan zakat dan bantuan kepada anak-anak asnaf sempena Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan 2019 hari ini. - Foto Bernama

Al-Sultan Abdullah turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan golongan asnaf yang hadir ke program itu, sebelum berangkat pulang kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan tahun ini melibatkan hampir 100 motosikal berkuasa tinggi dan 10 teksi iaitu penerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi, berkonvoi dalam perjalanan sejauh lebih 30 kilometer bagi menyantuni golongan asnaf.

Konvoi berkenaan bermula dari Taman Metropolitan Batu, seterusnya bergerak ke Masjid Al-Mukhlisin Taman Alam Damai, Cheras yang disambut oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar sebelum berakhir di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Lembah Pantai.

Sementara itu, Mujahid dalam ucapannya berkata, program itu merupakan inisiatif MAIWP bagi memperhebatkan hebahan tentang usaha proaktif MAIWP dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan khususnya menerusi program agihan zakat.

"Dalam menunaikan amanah para pembayar zakat ini, MAIWP telah merencana pelbagai aktiviti agihan zakat. Antaranya MAIWP sehingga kini menawarkan sebanyak 28 skim bantuan zakat merangkumi bantuan daripada aspek keperluan asasi, pendidikan, ekonomi dan kebajikan," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!