'Yang penting Kedah tak kalah'

Baddrol Bakhtiar
Baddrol Bakhtiar
A
A
A

WALAUPUN tidak meraih sebarang kelebihan untuk bertandang ke Kuantan, 26 Oktober ini, ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, masih boleh tersenyum dengan penamat penuh dramatik yang mereka pamerkan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, semalam.

Baginya, kebangkitan sebanyak dua kali yang dipamerkan sudah cukup menggambarkan betapa tingginya semangat perjuangan pemain-pemain Kedah sebelum mengikat Pahang 3-3 melalui jaringan penyamaan minit akhir oleh pemain gantian, Zaquan Adha Abdul Razak.

Berdasarkan keputusan itu, Baddrol berasakan Kedah sudah mampu memberikan satu bayangan kepada Pahang bahawa tiada laluan mudah akan diberikan kepada skuad Tok Gajah apabila mereka bakal berentap pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur.

“Malam ini, kami sudah berusaha sebaik mungkin sepanjang permainan dan apa yang cukup penting, kami tidak kalah di laman sendiri selepas tamatnya perlawanan.

“Masih ada baki 90 minit lagi bagi mencari tempat ke pentas final dan kami berazam untuk bagi lebih baik apabila bertandang ke tempat lawan selepas apa kami pamerkan di sini.

“Jujurnya, Pahang memang pasukan yang kuat, bagaimanapun saya dan rakan-rakan tetap berjaya mengakhiri perlawanan terakhir di tempat sendiri musim ini dengan aksi terpuji ditambah faktor padang juga ada rencatkan permainan kami pada malam ini, ” katanya.

Dalam pada itu, Baddrol teruja dengan kehadiran penonton di Stadium Darul Aman yang disifatkan luar biasa iaitu seramai 23,483 orang dan mengharapkan situasi itu akan berterusan pada setiap perlawanan membabitkan Kedah, musim depan.

Tambahnya, pemain Kedah cukup dahagakan sokongan sebegitu daripada penyokong dan mereka jelas menjadi pemain ke-12 di sebalik kebangkitan dilakar Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Memang ini setiap pemain inginkan dengan tiap perlawanan sentiasa dipenuhi dengan penyokong-penyokong setia, saya mengharapkan pada musim depan nanti, ia berterusan.

“Walaupun mungkin ada nanti bukan perlawanan yang penting, kami pemain tetap mahukan penyokong sentiasa membanjiri stadium kerana sokongan anda amat kami perlukan, ” katanya.