Penjawat Awam dituduh minta dan terima rasuah

 Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, empat tahun lalu.
Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, empat tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, empat tahun lalu.

Sanizam Bachok, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan wang tunai RM70,000 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk dirinya selaku Pegawai Laut Gred A41 di Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Selatan) mengeluarkan surat kelulusan beroperasi ke atas tiga kapal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Anjung Neighbourhood Centre 5, Persiaran Ledang Heights, Iskandar Puteri, kira-kira jam 6 petang, 25 November 2015.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Sanizam didakwa memperoleh suapan wang tunai RM50,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi ke atas tiga kapal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di restoran yang sama sekitar jam 11.10 pagi, pada 27 November 2015.

Artikel Berkaitan:

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding berasingan, seorang Pegawai Laut Gred A44 di Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Selatan) mengaku tidak bersalah selepas didakwa telah bersubahat dengan Sanizam bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Nor Yazid Khairi Mohamad Noor, 48, dituduh di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(B), Seksyen 17(a) dan Seksyen 24 Akta yang sama bagi dua pertuduhan itu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 berserta seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 10 Februari ini, sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nor Syarina Raizan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.