'City belum tunjukkan taring sebenar'

Pemain City meraikan jaringan Silva ketika menentang Crystal Palace awal pagi tadi. - Foto: The Independent
A
A

PENYERANG Manchester City, Gabriel Jesus menyifatkan pasukannya belum berada pada tahap terbaik selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Selhurst Park, awal pagi tadi.

Menurutnya, kemenangan ke atas pasukan itu bukan mudah untuk diraih biarpun mencipta banyak peluang gol dan mendominasi 90 minit perlawanan.

City menguasai perlawanan dengan catatan 71.3 peratus penguasaan bola dan 21 percubaan dengan 10 daripadanya yang tepat ke ke gawang lawan.

"Sememangnya kami bermain bagus sama ada ketika memegang bola ataupun tidak. Tiada siapa yang dapat menafikan betapa sukarnya untuk menentang Crystal Palace.

"Kami perlu memastikan bola sentiasa berada di kaki kami dan cuba mencipta peluang menjaringkan gol. Bukan mudah untuk meraih kemenangan ini ditambah dengan beberapa peluang keemasan yang gagal disempurnakan dengan baik.

"Apa yang boleh saya katakan, ini bukan permainan terbaik City dan kami perlu meningkatkan prestasi untuk terus bersaing dalam saingan liga kali ini," katanya.

Dalam perlawanan itu, Jesus membuka tirai jaringan pada minit ke-39 sebelum pemain tengah, David Silva menggandakan kedudukan dua minit kemudian untuk kemenangan mutlak The Citizen.

"Umpanan silang Bernardo Silva sangat luar biasa. Saya seronok kerana saya mampu mencuba dua atau tiga kali sebelum mencetak gol.

"Saya berada di tahap terbaik permainan ketika ini dan saya mengharapkan Pep Guardiola (pengendali City) dapat menurunkan saya lagi dalam perlawanan akan datang," katanya.