Jenazah warga PKNS, Azalan Miswan selamat dikebumikan

Miswan Sayuti (dua, kiri, duduk) mengaminkan doa ketika bacaan talkin pada pengkebumian anaknya Allahyarham Azalan Miswan 50, yang merupakan kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang maut dalam kemalangan di Turki selepas pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. -Foto Bernama
Miswan Sayuti (dua, kiri, duduk) mengaminkan doa ketika bacaan talkin pada pengkebumian anaknya Allahyarham Azalan Miswan 50, yang merupakan kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang maut dalam kemalangan di Turki selepas pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jenazah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan yang maut dalam satu kemalangan di Turki pada Rabu lepas, selamat dikebumikan pada pukul 9.40 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang tiba dari Turki kira-kira pukul 5.15 petang tadi disembahyangkan di Surau An-Nuur Seksyen 20, Shah Alam selepas solat Isyak.

Turut menziarahi keluarga jenazah adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mohd Azizi Mohd Zain dan Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek.

Pada Rabu lepas, Azalan antara 35 kakitangan PKNS yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Afyonkarahisar, Turki ketika menyertai rombongan tahunan perbadanan itu ke negara berkenaan.

Allahyarham maut di tempat kejadian manakala empat lagi cedera parah dan mendapatkan rawatan di hospital Afyonkarahisar.

Azalan merupakan Pembantu Kanan Tadbir PKNS dan telah berkhidmat selama 28 tahun dengan perbadanan itu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Siti Faredah Ahmad, 53, dan tiga anak iaitu Muhammad Aiman, 26, Nurafiqah, 24 dan Ariff Danial, 15.

Siti Faredah ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis pengkebumian itu menzahirkan penghargaan kepada Wisma Putra kerana banyak membantu memudahkan pengurusan jenazah suaminya semasa di Turki.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (Wisma Putra) banyak membantu daripada mula kami tiba di hospital di Turki sehingga membawa pulang jenazah ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, anak bongsu Allahyarham, Ariff Danial pula berkata arwah bapanya sempat menasihatkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh sebelum berlepas ke Turki.

"Semasa kami dalam perjalanan untuk menghantar ayah pergi ke Turki, ayah ada memberi nasihat agar saya belajar rajin-rajin dan itu yang paling saya ingat,” katanya. -Bernama