Sila log masuk terlebih dahulu.

Wan Azizah teruja bertemu 'Along' dan 'Siti Karah'

Dr Wan Azizah memberi makanan pada penyu yang bernama 'Along' ketika lawatan ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting petang ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah memberi makanan pada penyu yang bernama 'Along' ketika lawatan ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting petang ini. -Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini teruja bertemu dan berkenalan dengan 'Along' dan 'Siti Karah' iaitu dua ekor penyu karah yang ditempatkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting ketika melawat pusat itu selama lebih 30 minit di sini hari ini.

Dr Wan Azizah turut berkesempatan memberi makan ikan selar kepada 'Along' dan 'Siti Karah' sambil mendengar penerangan mengenai dua ekor penyu karah yang mendiami pusat itu sejak kecil serta mengenai usaha pemuliharaan penyu karah di negeri ini daripada Pengarah Perikanan Melaka, Johari Tim.

Terdahulu ketika sesi taklimat oleh Johari, Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan kegusarannya mengenai segelintir rakyat Malaysia yang suka makan telur penyu.

Dr Wan Azizah pada taklimat itu juga bertanya kepada Johari mengapa anak penyu yang ditetaskan di pusat itu dilepaskan di pantai dan tidak di laut, yang mana menurut Johari penyu mempunyai 'alat penunjuk arah' atau ‘Global Positioning System semulajadi’ kerana mempunyai memori yang kuat.

Johari menjelaskan dengan memori yang kuat, penyu berupaya mengingat kembali pantai tempat mereka menetas dan dilepaskan, justeru penyu dilepaskan di pantai itu diharap dapat datang kembali ke pantai untuk bertelur pada masa akan datang.

Dr Wan Azizah ketika berucap pada majlis minum petang bersama rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini selepas itu, turut berkongsi maklumat berkenaan kepada lebih 100 para hadirin termasuk Anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penyu karah yang mendarat di kawasan itu adalah khazanah semula jadi yang tidak ternilai harganya dan ia perlu dipertahankan serta dipelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

"Kalau penyu ini pupus apa akan berlaku kepada alam sekitar kita, plastik dibuang hanyut di lautan penyu ini termakan kerana dia lapar dan penyu ini akan mati kerana plastik ini tidak dapat dihadam," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: