Rangka draf peraturan tangani sisa elektrik, elektronik

Khalid (kanan) bersama Yeo Bee Yin merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2019 di Taman Pudu Ulu, Cheras hari ini. -Foto Bernama
Khalid (kanan) bersama Yeo Bee Yin merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2019 di Taman Pudu Ulu, Cheras hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan peralatan atau gajet elektrik dan elektronik yang terus meningkat bermakna sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang perlu dilupuskan atau dikitar semula juga akan meningkat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, bagi menangani masalah ini kerajaan sedang merangka draf peraturan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste).

“Sekarang ramai tak tahu peti sejuk, bateri, telefon bimbit nak dibuang di mana dan kita buang sekali dengan sisa lain kerana tiada pusat pembuangan yang khas. Jadi ia mencemarkan alam sekitar, sebab itu kita mahu adakan peraturan e-waste ini yang mana ia penyelesaian jangka panjang dan lebih teratur termasuk kutipan, cara kitar semula dan membantu dari segi ekonomi.

“Draf ini sudah pun di peringkat akhir (peringkat kementerian) sebelum disampaikan Jabatan Peguam Negara. Bagaimanapun butiran mengenai peraturan itu akan dijelaskan kemudian, kita akan umumkan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada orang ramai menyemak dan memahaminya,” kata beliau kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2019 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Sambutan HASN 2019 bertemakan ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’ itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Yeo berkata, penumpuan dalam peraturan pembuangan e-waste dikategorikan kepada enam jenis elektronik terjadual iaitu pendingin hawa, mesin basuh, televisyen, telefon bimbit, peti ais dan komputer.

Tambahnya lagi, kajian menunjukkan rakyat Malaysia menggunakan 75 kilogram (kg) plastik seorang setahun, tiga kali ganda melebihi purata serantau 20kg plastik seorang setahun.

“Oleh itu, menjadi hasrat kerajaan supaya kita boleh mengurangkan penggunaan plastik, jadi dengan adanya kempen kesedaran alam sekitar kita boleh mengurangkan sekurang-kurangnya kepada purata dan kalau boleh lebih baik lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya mencadangkan agar nama taman rekreasi 'Taman Pudu Ulu' dapat dijenamakan semula agar lebih menarik dan melambangkan unsur alam, sekali gus menarik lebih ramai warga kota mengunjungi taman untuk aktiviti riadah.

“Jika mahu kekalkan nama ini pun tidak menjadi masalah tetapi usaha untuk menghidupkan taman ini sebagai pusat tumpuan orang ramai dan pelancong wajar diberi perhatian dan masukkan lokasi menarik seperti ini dalam senarai boleh dikunjungi pelancong,” katanya.

Beliau berkata, dalam mencorak masa depan Kuala Lumpur, elemen pengurusan alam sekitar secara lestari turut menjadi dasar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam menggubal pelan struktur Kuala Lumpur dan pada masa kini usaha mempersiapkan pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 sedang dilaksanakan. - Bernama