Lelaki ditahan bunuh polis bantuan wanita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang anggota polis bantuan wanita di sebuah apartmen di Damansara Damai di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek ditahan di pekarangan Balai Polis Kampung Baru Subang pada 8.40 malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik angkat mangsa yang memaklumkan wanita berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di rumah itu pada 12.40 tengah malam Jumaat.

“Ketika anggota bertugas masuk ke rumah berkenaan, didapati rumah dalam keadaan tidak terurus namun tiada sebarang kesan pecah masuk.

“Mangsa yang berusia 25 tahun ditemui terlentang dengan kesan lebam di dahi, mata dan bawah leher hingga ke dada selain di bahagian muka terdapat kesan lebam serta pendarahan di hidung,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Mohd Zani berkata, telefon bimbit dan dompet milik mangsa juga didapati hilang tetapi tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita itu akibat ditekup dipercayai menggunakan bantal sehingga menyebabkan halangan pada saluran pernafasan mangsa.

“Selain itu, hasil bedah siasat juga mendapati kecederaan di bahagian kepala akibat hentakan atau pukulan menggunakan objek tumpul serta lebam di kedua-dua mata dipercayai akibat ditumbuk selain hentakan kuat menyebabkan hidung mangsa patah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zani berkata, siasatan lanjut mendapati rumah itu disewa suspek berusia 22 tahun yang merupakan bekas rakan serumah mangsa di kediaman tersebut.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman terhadap suspek telah dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. - Bernama