Perak larang kempen BMF di kawasan masjid

Asmuni Awi
Asmuni Awi
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Kerajaan Perak melarang sebarang penganjuran kempen Beli Barangan Buatan Muslim Dahulu (BMF) di dalam kawasan masjid selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) semalam.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, keutamaan diberikan kepada promosi kempen Beli Barangan Halal Dahulu seperti yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, penganjuran BMF oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan itu dilaksanakan bukan untuk kepentingan umum tetapi untuk tujuan politik pihak tertentu.

"Ini keputusan mesyuarat MAIPk semalam. Khamis lalu saya sudah mengarahkan supaya pelancaran kempen ini dibatalkan di semua masjid.

"Kalau nak buat karnival jualan boleh tapi jangan kempen. Kita tidak mahu kerajaan dilihat bersama dalam kempen ini sekali gus bertentangan dengan polisi yang mempromosikan produk halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Kerjaya RISDA Negeri Perak 2019 di Pasaraya Besar Mydin Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah RISDA Perak, Nor Afzami Isa dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Asmuni berkata demikian sebagai mengulas mengenai pelancaran Buy Muslim First Peringkat Masjid Negeri Perak di Masjid An-Nur Batu 8, Hulu Kinta di sini semalam.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarahkan memanggil ahli jawatankuasa Masjid An-Nur Batu 8, Hulu Kinta untuk memberikan penjelasan kerana membenarkan pelancaran program berkenaan diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri juga kesal dengan penglibatan Jabatan Mufti Negeri Perak terhadap kempen tersebut.

Menurutnya, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim yang dijadualkan merasmikan pelancaran program itu semalam akan dipanggil pada Isnin depan untuk memberikan penjelasan.

Mengulas mengenai kempen BMF itu, Asmuni berkata, al-Quran menekankan halalan thoiyyiba atau halal dan baik, bukan produk Muslim.

"Apabila bercakap mengenai barangan halal secara automatik merangkumi barangan Muslim dan bukan Muslim tidak berkecil hati kerana kita beri peluang kepada semua untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Beliau berkata, kempen BMF turut memberi kesan kepada jualan hasil ladang produk Muslim kerana kebanyakan pemborong berketurunan Cina.

"Mereka takut nak beli kerana orang Melayu hanya beli produk Muslim sedangkan barang yang diborong itu diperoleh daripada peniaga Muslim," katanya.

Semalam, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu menghalang kempen BMF di masjid di Perak.

Pengerusinya, Khalil Idham Lim Abdullah berkata, ada pihak menganggap kempen berkenaan bersifat politik sedangkan ia digerakkan atas kesedaran orang Islam.

Sementara itu, Zamri yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan pejabatnya menerima undangan untuk bertemu dengan Asmuni pada petang semalam.

Menurutnya, beliau akan hadir pada pertemuan yang dijadualkan pada Isnin nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Ummah dakwa ada usaha halang kempen BMF