Mydin platform tawar produk halal usahawan PKS

Siti Salwa (tiga dari kanan) bersama Ameer (dua dari kanan) ketika Karnival Ini Malaysia Punya yang diadakan di Mydin USJ, Subang Jaya, semalam.
A
A

SUBANG JAYA - Pengendali rangkaian peruncitan produk halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) optimis penyertaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama Mydin akan meningkat pada masa akan datang.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, ia berikutan Mydin sentiasa membuka peluang dan komited membantu usahawan PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, Mydin terkenal dengan menawarkan pelbagai produk halal dengan harga berpatutan.

"Setakat ini, lebih 1,500 produk unit simpanan stok (SKU) halal daripada usahawan Melayu ditawarkan di Mydin dan mendapat permintaan tinggi.

"Ia menyebabkan produk tersebut sentiasa kehabisan dan permintaan pelanggan tidak dapat dipenuhi oleh Mydin. Produk yang mereka mahu bukannya tidak ada tetapi ia cepat habis dan pengeluar tidak cukup tangan untuk membekalkannya," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Rabbiatul Adawiah menunjukkan produk keluaran Fitrah.
Rabbiatul Adawiah menunjukkan produk keluaran Fitrah.

Terdahulu, Ameer menjadi panelis pada Wacana Bangga Lokal Berdiri Global sempena Karnival Ini Malaysia Punya yang diadakan di Mydin USJ, Subang Jaya, semalam.

Wacana itu turut membariskan ahli panel lain iaitu Pengarah Fitrah Food Manufacturing Sdn Bhd, Rabbiatul Adawiah Hasim; Penolong Pengarah Majlis Halal Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Asyraf Ibrahim dan Pakar Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

Ameer berkata, Mydin menjadi pilihan kepada pelanggan pelbagai golongan masyarakat untuk mendapatkan produk berkualiti dengan harga berpatutan.

"Ini juga meningkatkan bilangan usahawan di Mydin dari semasa ke semasa dan mereka menjadi usahawan berjaya.

"Malahan, kebanyakan usahawan bersama Mydin selama tiga atau enam bulan sebelum mengembangkan perniagaan mereka di rangkaian pasar raya lain," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya inisiatif menyokong kempen membeli barangan buatan Malaysia dan kempen Buy Muslim First menyebabkan Mydin perlu menambahkan bilangan produk lebih daripada biasa dan memerlukan ramai usahawan.

"Ini menunjukkan kesedaran dalam kalangan masyarakat menyokong usahawan kecil tempatan dengan membeli barangan buatan Malaysia sekali gus meningkatkan taraf kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, kempen-kempen tersebut telah membantu perniagaan Mydin mencapai peningkatan jualan sebanyak tujuh peratus.

Selain wacana, Mydin juga mengadakan pameran jualan produk usahawan yang telah dan bakal bersama Mydin.

"Mydin mengadakan program ini untuk berkongsi maklumat mengenai kejayaan usahawan yang telah bersama Mydin. Ia juga mendedahkan kepada usahawan mengenai halal dan apa yang diperlukan untuk menjadi usahawan," katanya.

Fitrah bersama Mydin selama 13 tahun

Syarikat bumiputera yang terlibat dalam pembuatan produk cincau dan rumpai laut, Fitrah Food Manufacturing Sdn Bhd (Fitrah) ialah usahawan yang berjaya dan telah memasarkan produk di pasar raya terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) sejak 2006.

Pengarahnya, Rabbiatul Adawiah Hasim berkata, Fitrah bertuah berpeluang mengembangkan perniagaan bersama Mydin kerana pasar raya itu menjadi pilihan rakyat Malaysia dan terdapat di seluruh negara.

Menurutnya, Fitrah bermula dengan perniagaan kecil sahaja dan keyakinan Mydin terhadap produk mereka telah memacu peningkatan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri.

"Alhamdulillah, saya melihat perubahan dalam perniagaan kami. Mydin memberikan peluang dan ruang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan jangan lepaskan peluang tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Rabbiatul berkata, usahawan kecil di luar sana tidak perlu bimbang bersama Mydin kerana pihak terlibat komited membantu usahawan dan ia menjadi pilihan utama rakyat di negara ini mendapatkan produk dengan harga murah.

"Konsep perniagaan Mydin sentiasa pantas seiring dengan perkembangan terkini dan sentiasa menambahkan bilangan outletnya dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, Mydin juga sentiasa mengadakan program bersama usahawan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk mereka di outlet Mydin di seluruh negara.

Inayu Global yakin dengan Mydin

Syarikat bumiputera yang mengeluarkan beras, Inayu Global Sdn Bhd (Inayu Global) memilih untuk memasarkan berasnya secara eksklusif di semua rangkaian pasar raya terkemuka, Mydin di seluruh negara pada 1 November nanti.

Pengerusinya, Siti Salwa Abd Ghani optimis Mydin menjadi pilihan kerana ia menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk mendapatkan pelbagai barangan berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, Inayu Global akan membekalkan 50 hingga 70 tan metrik dalam tempoh tiga bulan.

"Inayu Global menyasarkan untuk membekalkan beras 100 tan metrik sebulan di pasar raya terkemuka, Mydin di seluruh negara pada suku kedua pada 2020.

"Kami berkeyakinan sasaran itu akan dicapai berikutan pasar raya Mydin menjadi tumpuan rakyat di negara ini dan terletak di seluruh negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Siti Salwa berkata, Inayu Global menyediakan empat jenis beras dengan harga berpatutan serendah RM22 hingga RM40.

"Antara jenis beras yang akan dipasarkan di pasar raya Mydin ialah Royal Mithas yang didatangkan dua saiz iaitu 2 kilogram (kg) dan 5kg, Sri Cengkih (Super Spesial Tempatan) dan Sri Cengkih 10kg," katanya.

Beliau berkata, selain di Mydin, beras keluaran Inayu Global berada di 11 cawangan di Pasar raya Darul Makmur dinaungi Majlis Agama Islam Negeri Pahang.