Kerajaan Perak akui lantik syarikat konsesi tanpa tender terbuka

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak mengesahkan pelantikan sebuah syarikat konsesi bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) tanpa tender terbuka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh semua exco selepas meneliti kesemua cadangan yang diterima daripada pelbagai pihak bagi menaiktaraf jalan-jalan di bawah majlis daerah, majlis perbandaran dan majlis bandaraya.

“Kita menerima pelbagai cadangan melibatkan pelbagai pihak dan daripada cadangan itu, kami memilih sebuah syarikat yang kami yakin dan percaya dapat memberi perkhidmatan seperti mana yang kami kehendaki.

“Tentang untuk adakan tender dan lain-lain, kerja-kerja ini adalah kerja-kerja ‘niche’ (khas) ia juga lebih apa kami kehendaki yang syarikat itu dapat lakukan. Daripada banyak cadangan kita terima, pelbagai taklimat telah diberikan kepada barisan exco akhirnya kita sepakat, seluruh exco sepakat terima syarikat berkenaan diberi konsesi ini,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia peringkat negeri di Hospital Sungai Siput di sini semalam.

Ahmad Faizal turut menafikan penganugerahan projek itu adalah melibatkan sejumlah RM1.15 bilion.

“Semak dahulu peruntukkan MARRIS daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Perak, ia bukan melibatkan sebanyak itu amaunnya.

“Kontraktor tersebut perlu semak fakta terlebih dahulu malah kontraktor ini akan dapat projek sekali kerana apa yang kita buat ini adalah keseragaman. Semua orang dapat merasa dan bukan sekelompok seperti dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan: