Perak ambil tindakan tegas basmi aedes, virus zika

A Sivanesan - Foto Bernama
A Sivanesan - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melalui Jabatan Kesihatan akan memperketatkan penguatkuasaan membanteras nyamuk aedes dan virus Zika yang dikesan di negeri itu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, usaha dilakukan termasuk amaran tegas kepada penduduk yang tidak menjaga kebersihan.

Menurutnya, kerajaan juga bercadang mewujudkan satu undang-undang kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani rumah terbiar.

"Tindakan tegas sebelum ini berjaya menurunkan jumlah kes di beberapa daerah termasuk Manjung.

"Berdasarkan statistik sehingga 12 Oktober lepas, daerah Manjung merekodkan penurunan 53 peratus iaitu 234 kes berbanding 502 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Ini diikuti daerah Hilir Perak penurunan sebanyak 39 peratus dan Kuala Kangsar 29 peratus," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Seorang Pegawai Maritim Leftenan Muda (M) Mohamad Ikmal Ibrahim yang bertugas di Terengganu meninggal dunia pada jam 4.45 pagi tadi selepas positif jangkitan virus Zika.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selalu lalu mengesahkan pegawai berusia 30 tahun itu dimasukkan Hospital Seri Manjung pada 12 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, tindakan kawalan telah dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah sebaik menerima notifikasi jangkitan virus berkenaan.

"Setakat ini hanya satu kes dilaporkan dan ia masih lagi dikategorikan sebagai wabak terkawal," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, Perak setakat ini merekodkan 2,486 kes denggi iaitu peningkatan 288 kes membabitkan empat kematian berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri melalui agensinya melakukan pemantauan selepas menerima kes berkenaan namun kebanyakan aktiviti tidak mendapat sambutan penduduk yang mengamalkan sikap 'tutup pintu'.

"Mereka hanya mengharapkan ahli majlis, ketua kampung, ahli politik, bomba dan jabatan kesihatan untuk membersihkan kawasan.

"Begitu juga dengan rumah kosong kerana kita tidak dapat masuk tanpa kebenaran mahkamah, sedangkan keadaan kawasan itu kotor dan menjadi punca pembiakan nyamuk," katanya.

Terdahulu, Sivanesan mempengerusikan mesyuarat mengenai Pemindahan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bersama Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Perak, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Bangunan Perak Darul Ridzuan.