Tak wajar dedah propaganda politik kepada pelajar sekolah

Komik propaganda. Gambar kecil: Mohd Sani
A
A

SHAH ALAM - Pelajar sekolah di negara ini tidak sewajarnya dilibatkan dengan bahan bacaan bersifat propaganda politik apatah lagi menjadikan ia sebagai bahan dalam pembelajaran.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari 2, Mohd Sani Awang berkata, ini kerana dalam usia sedemikian pemikiran mereka tidak seharusnya mengambil tahu mengenai politik semasa terutamanya jika mempunyai agenda tertentu.

"Saya secara peribadi tidak bersetuju jika sekiranya benar cubaan untuk mengedar komik 'Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ke sekolah di seluruh negara.

"Ini kerana saya difahamkan kandungan komik itu langsung tidak bersifat akademik sebaliknya hanya bersifat politik yang mempunyai agenda tertentu.

"Sudah pasti sebagai ibu bapa saya tidak menyokong perkara ini dan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu menyiasat perkara ini dengan teliti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, apa pun agenda pihak-pihak tertentu masa depan generasi muda terutamanya pelajar sekolah tidak seharusnya dipertaruhkan semata-mata ingin membangkitkan kebencian kepada individu tertentu.

Katanya, selari dengan status pelajar, golongan itu harus difokuskan kepada bahan bacaan bersifat akademik yang boleh membantu mereka menambahkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

"Kalau benar tujuan pihak yang ingin mengedarkan komik itu mahu memberi pendedahan kepada pelajar, bahan bacaan perlu bersifat akademik.

"Bahan bacaan itu perlu lebih kepada asas akademik yang bertujuan untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada pelajar sekolah bukan untuk mempengaruhi minda mereka dengan bahan yang tidak sewajarnya," katanya.

Selain itu, Mohd sani turut meminta KPM dan JPN memantau perkara itu agar sekolah dan pelajar tidak menjadi mangsa kepada agenda tidak sihat tersebut.

Terdahulu, Najib dalam hantaran menerusi laman Facebooknya mempersoalkan edaran komik berbentuk propaganda mengagungkan DAP, komunis, memburukkan Malaysia, dirinya sekeluarga.

Lampiran komik yang dikongsi Najib di Facebooknya.
Lampiran komik yang dikongsi Najib di Facebooknya.

Surat yang bertarikh 8 Oktober lalu ditujukan kepada pengetua sekolah.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.

Bagaimanapun, KPM dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kementerian itu membenarkan komik Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ke sekolah seluruh negara.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengharamkan komik bersifat propaganda politik di kawasan sekolah.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pihaknya mengingatkan bahawa adab dan hormat-menghormati antara satu sama lain merupakan kunci kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kami terkejut dan marah dengan cubaan pengedaran komik yang berunsur politik memburuk-burukkan pemimpin negara di sekolah.

“Tindakan ini adalah satu propaganda melampau dan provokatif kerana baik sekolah kebangsaan atau vernakular haruslah bebas daripada sebarang unsur politik serta tidak dijadikan medan menyebarkan fahaman politik mana-mana parti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM nafi beri kebenaran edar komik propaganda

Najib persoal komik didakwa berbentuk propaganda diedar di sekolah