Yan Kee boneka kepada DAP, kata Dr Najmil

Yan Kee (dua dari kiri) ditemani peguamnya, Asheeq Ali ketika hadir ke Balai Polis Petaling semalam. Gambar kecil: Dr Najmil Faiz Mohamed Aris
A
A

KUALA TERENGGANU- Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, mendakwa graduan biadab yang menimbulkan kekecohan ketika majlis konvokesyen Universiti Malaya (UM), Wong Yan Kee adalah boneka kepada DAP.

"Yan Kee sebenarnya adalah boneka kepada DAP di mana dia pernah berkata: Dulu saya seorang aktivis mahasiswa dan pernah protes isu kenaikan yuran, bas, perkhidmatan jalur lebar (WiFi) dan sebagainya.

"Perjuangan Yan Kee adalah sia-sia kerana mahasiswa pada hari ini ditipu dan dikhianati kerajaan kerana tiada langsung pembelaan terhadap para pelajar terutamanya dalam isu PTPTN dan MyBrain15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Najmil berkata, penglibatan ahli politik Pakatan Harapan (PH) dalam isu tersebut bagi mempertahankan Yan Kee adalah tidak masuk akal dan dilihat tidak menghormati keputusan universiti.

Menurutnya, Lim Kit Siang dan Syed Saddiq umpamanya, tidak wajar campur tangan dalam isu ini dan sepatutnya membiarkan polis mengambil tindakan terhadap tindakan kurang ajar dan biadab Yan Kee.

Beliau berkata Kit Siang adalah ahli politik DAP yang gemar campur tangan dalam apa-apa jua isu terkini seperti kes LTTE dan kini dalam kes protes graduan UM untuk menaikkan populariti beliau.

Jelas Dr Najmil, tindakan Yan Kee yang mengeluar dan menayangkan plakad sambil menjerit sebaik menerima skrol ijazahnya ketika berada di atas pentas pada sidang konvokesyen itu adalah keterlaluan, mencemar nama baik UM dan menghina majlis konvokesyen.

Sebagai graduan katanya, Yan Kee sepatutnya menjadi contoh kepada graduan lain dan bukannya bersikap radikal dan rasis.

"Jika dibiarkan budaya ini akan merebak dan merosakkan adab para mahasiswa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 'Tindakan saya hanya untuk demokrasi kampus'

Kit Siang gesa UM tarik semula laporan polis terhadap graduan

Graduan biadab: Boleh kecam tapi jangan rampas ijazah