DAP nafi terlibat dengan penerbitan 'komik propaganda'

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang mengesahkan tidak terlibat dalam penerbitan buku komik berbentuk propaganda bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri hanya menyalurkan peruntukan tahunan sejak beberapa tahun lalu bagi membiayai bayaran sewa muzium itu yang terletak di ICT Mall, Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) di sini.

Menurutnya, penyaluran peruntukan itu dibuat kerana kerajaan negeri menganggap muzium tersebut merupakan salah satu produk pelancongan yang boleh menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

"Muzium komik ini tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri atau DAP Pulau Pinang. Ia terletak di Komtar dan sejak beberapa tahun lalu, memang kerajaan negeri memberi peruntukan untuk membayar sewa premis di ICT Mall.

"Peruntukan itu diberikan kerana kerajaan negeri menganggap muzium ini salah satu produk pelancongan. Sebagai balasan, muzium ini telah memberi tiket secara percuma yang diedarkan di hotel dan sekolah di Pulau Pinang. Kita tidak tahu apa-apa tentang buku komik ini kerana kerajaan negeri tidak campur tangan dalam pengurusan dan pengendalian muzium ini," katanya.

Kon Yeow berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penang Digital Trade Zone di sebuah hotel di sini tadi.

Beliau berkata, hubungan antara kerajaan negeri dan Muzium Kebudayaan Komik Asia hanya berdasarkan penyaluran peruntukan tahunan sahaja.

"Hubungan kerajaan negeri hanya berdasarkan peruntukan tahunan untuk membiayai ruang sewaan muzium sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Lain-lain perkara saya tidak dapat jawab kerana tidak ada pengetahuan tentang perkara ini (penerbitan komik). Sekali lagi saya tegaskan, muzium ini tidak ada kaitan dengan DAP Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, wakil muzium yang enggan dikenali berkata, pihaknya dikunjungi pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang pagi tadi selepas komik tersebut tular di media sosial.

Menurutnya, pegawai penguatkuasa itu meminta agar pihak muzium tidak menjual komik tersebut sehingga arahan lanjut dikeluarkan.

Tambahnya, komik tersebut yang diterbitkan Jun lalu dijual pada harga RM25 dengan dua versi iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Cina yang mana versi Bahasa Malaysia belum dicetak.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pengedaran komik tersebut di sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan di negeri ini.

Muzium Kebudayaan Komik Asia dirasmikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 28 Mei 2016 ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Difahamkan, kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia tersebut adalah bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai 'Superman'

ARTIKEL BERKAITAN: Najib persoal komik didakwa berbentuk propaganda diedar di sekolah