RM400,000 selenggara sistem saliran di daerah Kubang Pasu

Mohd Fisol melekatkan Notis E di pintu kedai yang mempunyai tunggakan di pekan Jitra di sini hari ini.
Mohd Fisol melekatkan Notis E di pintu kedai yang mempunyai tunggakan di pekan Jitra di sini hari ini.
A
A
A

JITRA - Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) memperuntukkan RM400,000 setahun bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan sistem saliran di daerah ini.

Yang Dipertua MPKP, Datuk Mohd Fisol Md Noh berkata, tindakan ini bagi mengawal masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan seperti di pekan Jitra, pekan Changlun dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, sistem saliran di daerah ini turut diselia oleh dua agensi lain iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Di pihak MPKP, selain daripada penyelenggaraan kita juga memohon peruntukan daripada kerajaan pusat untuk membina parit monsun di beberapa kawasan yang sering berlaku banjir kilat," katanya ketika ditemui di Operasi tunggakan cukai pintu MPKP di sini hari ini.

Mohd Fisol berkata, MPKP juga sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku ketika musim hujan lebat ini.

"Antaranya kita telah mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa bencana banjir daerah Kubang Pasu semalam.

"Antara yang terlibat dalam mesyuarat ini adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), JKR, pejabat Ahli Parlimen dan lain-lain untuk membincangkan kesiapsiagaan kita sekiranya berlaku banjir di daerah ini," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai operasi pada hari ini, Mohd Fisol berkata, MPKP memandang serius tunggakan cukai pintu premis perniagaan dan kediaman yang terdapat di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini kita mengeluarkan sebanyak 118 notis E terhadap premis yang dikenal pasti mempunyai tunggakan.

"kita harap mereka yang terlibat dapat menyegerakan pembayaran untuk mengelakkan tindakan lebih tegas dikenakan," katanya.