Protokol Madrid mudahkan usahawan tempatan daftar jenama di luar negara

Saifuddin - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Cap Dagangan 2019 yang diluluskan di Parlimen Julai lalu membolehkan negara menyertai Protokol Madrid bagi memudahkan usahawan tempatan membuat pendaftaran jenama produk mereka di 122 negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui penguatkuasaan akta bermula 27 Disember, usahawan hanya perlu melakukan satu permohonan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mendaftar jenama mereka di negara yang menyertai Protokol Madrid itu.

“Sebelum ini usahawan kita perlu membuat pendaftaran jenama menerusi ejen di luar negara bagi memperluaskan skop perlindungan jenama, bagaimanapun dengan menyertai Protokol Madrid ia dapat dilakukan dengan pantas.

“Kepantasan itu penting kerana akan membantu meningkatkan prestasi atau kedudukan negara dari segi kemudahan menjalankan perniagaan yang sangat diperlukan dalam dunia perniagaan moden dan mencabar pada masa kini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran persidangan ‘International Trademark Association (INTA) 2019 Asia Brands In Changing Times’ di sini hari ini.

Antara 122 negara yang menyertai Protokol Madrid yang membolehkan perniagaan Malaysia memfailkan perlindungan hak milik jenama atau harta intelek mereka adalah Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Brazil, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, persidangan tersebut merupakan platform kepada negara untuk mempelajari amalan baik berkaitan isu harta intelek menerusi pembentangan daripada pembentang pelbagai negara.

Beliau berkata, persidangan tersebut juga membolehkan kementerian dan MyIPO memahami isu masa depan seperti isu barang tiruan, penguatkuasaan dan inovasi.

“Isu inovasi ini penting kerana kajian INTA menunjukkan ia memberi sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan dan perlu diberi tumpuan terus,” katanya.

Akta Cap Dagangan 2019 itu membolehkan Malaysia memenuhi kewajipannya di bawah Protokol Madrid berkenaan dengan Pendaftaran Antarabangsa bagi Cap, serta mendapatkan semua kelebihan dan faedah yang diberikan oleh Protokol Madrid.

Protokol Madrid merupakan sistem pendaftaran antarabangsa ditadbir Biro Antarabangsa (IB) Pertubuhan Harta Intelek Dunia (Wipo) yang akan memudahkan perniagaan tempatan berkembang ke luar negara. - Bernama