Mangsa banjir di Sungai Siput meningkat

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir kilat di Sungai Siput terus mencatat peningkatan iaitu kepada 212 mangsa melibatkan 69 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 207 mangsa daripada 66 keluarga malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sungai Siput berkata, 163 penduduk membabitkan 57 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Mohamad Padil Kampung Lintang.

“Penduduk yang terjejas terdiri daripada 57 lelaki, 65 wanita, 29 kanak-kanak lelaki, 10 kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU).

“Terdapat tambahan tiga keluarga mangsa telah mendaftar malam tadi. Kita jangkakan PPS boleh ditutup malam ini sekiranya cuaca baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat masih kekal seramai 49 orang daripada 12 keluarga dengan pecahan 16 lelaki, 13 wanita, 12 kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya.

Kesemua mangsa banjir berkenaan dari Kampung Lintang, Kampung Pondok, Kampung Cherakoh dan Kampung Batu 11 di Sungai Siput, katanya.

Operasi banjir dipantau agensi berkaitan iaitu 27 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 13 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 15 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan dua penghulu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: SK Lintang ditutup akibat banjir teruk

Artikel Berkaitan: