TMJ bidas cadangan KFA

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
A
A

PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas cadangan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membawa isu perpindahan penyerang muda negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

"Jikalau Kedah merasakan bahawa mereka mahu membawa Akhyar atau Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) ataupun FIFA, teruskan," jelas baginda yang dipetik sebagai berkata menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook JDT;Johor Southern Tigers.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail menjelaskan KFA sepatutnya menghormati keputusan Muhammad Akhyar yang memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya bersama KFA dan memutuskan untuk menyertai JDT.

Baginda pada masa sama turut menafikan JDT menggunakan jalan belakang untuk mendapatkan khidmat pemain muda berusia 19 tahun itu, namun menggunakan saluran yang betul setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan keputusan Muhammad Akhyar untuk menamatkan kontraknya lebih awal bersama KFA.

Jawatankuasa Rayuan FAM sebelum ini mengekalkan keputusan bahawa Muhammad Akhyar hanya perlu membayar sebanyak RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain, manakala pasukan baharunya harus membayar RM75,000 kepada KFA.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris dilaporkan sebagai berkata bahawa mereka tetap bertegas dengan tindakan mereka untuk mengheret kes berkenaan kepada FIFA dan CAS kerana mendakwa keputusan yang diputuskan oleh FAM itu adalah tidak adil.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest, baru-baru ini mengesahkan Muhammad Akhyar sah menyertai JDT dengan kontrak selama empat tahun dan JDT dilaporkan telah menetapkan klausa pelepasan perpindahan pemain berkenaan sebanyak RM12 juta. - Bernama