Gesa kerajaan segera haramkan vape

Shaharizukirnain
Shaharizukirnain
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera mengharamkan sepenuhnya pengambilan vape seperti dilaksanakan di beberapa negara termasuk di Mexico, Jordan, Thailand, Singapura, Brunei dan Oman.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, langkah itu juga selari dengan fatwa yang mengharamkan pengambilan vape atas dasar pengambilan vape mengundang mudarat besar.

"Buktinya, sehingga kini terdapat 28 kes dikaitkan dengan vape di Amerika Syarikat dan satu di United Kingdom.

"Hal ini membuktikan pengambilan vape menyebabkan ketagihan dan ia berbahaya sebagaimana rokok sekaligus boleh mengancam nyawa rakyat Malaysia jika tidak dibentung," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini ada menyatakan bahawa penggunaan rokok elektronik atau vape di Malaysia sangat membimbangkan dengan membabitkan 300,000 pelajar sekolah.

Malah lebih mengejutkan katanya, daripada jumlah tersebut 50,000 pelajar merupakan pelajar perempuan.

"Bilangan ini menunjukkan penggunaan vape semakin berleluasa walhal saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok dan mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs) boleh menyebabkan kanser.

"Malah, tanggapan masyarakat yang mengatakan pengambilan vape boleh membantu perokok berhenti merokok tidak benar sama sekali.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini kerana, menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Racun Negara, vape mengandungi nikotin penyebab ketagihan malah setiap 40mg nikotin boleh menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan melarang penjualan vape melainkan ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar tidak akan memberi apa-apa kesan pengurangan penggunaan vape jika tanpa penguatkuasaan yang benar-benar serius dan menyeluruh.