X

Kindly register in order to view this article
!

Empat tahun rumah 'diserang' lalat

Asron (tengah) bersama penduduk kampung menunjukkan lalat yang menyerang kawasan kampung mereka sejak empat tahun lalu.
A
A

TANJONG KARANG - Kira-kira 2,000 penduduk dari tiga kampung di sini hidup dalam keadaan tidak selesa apabila diganggu puluh ribuan lalat sejak empat tahun lalu.

Tiga kampung terjejas ialah Kampung Sungai Gulang-Gulang, Sungai Yu dan Sungai Tunggal selain beberapa taman perumahan berhampiran.

Penduduk Kampung Sungai Yu, Dul Jalil Mahmud, 66, berkata, keadaan itu didakwa berpunca dari beberapa ladang ternakan ayam yang dibina berhampiran dengan rumah penduduk.

"Jumlah lalat semakin bertambah setiap hari terutama waktu puncak ketika ayam dibawa keluar dari reban untuk dijual di pasaran.

“Kami buntu hendak buat macam mana lagi, masalah ini bukan satu atau dua minggu tapi isu ini sejak tahun 2015 lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Peniaga roti canai dari Kampung Sungai Yu, Abd Halim Ahmad, 65, berkata, gerainya itu sering dihurung lalat hingga menjejaskan perniagaannya.

"Saya bimbang jika tiada jalan penyelesaian pelanggan tidak mahu singgah ke kedai ini dan hasil pendapatan kami juga akan merosot," katanya.

Seorang pelanggan kedai makan, Mohamad Hamka Hambali, 25, berkata, pengunjung kedai makan tentunya berasa tidak selesa apabila kebanyakan gerai kampung dihurung lalat.

Katanya, masalah itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan meminta pihak berwajib menanganinya.

"Kebanyakan kedai makan di kampung ini bersih dan isu ini timbul disebabkan penternakan ayam yang dibuat secara besar-besaran.

"Malah di rumah saya sendiri tidak terkecuali dengan masalah lalat ini," katanya.

Seorang lagi penduduk di Kampung Sungai Tunggul, Yaakop Abdul Hamid, 70, berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjalankan siasatan lanjut berhubung operasi ladang ternakan terbabit.

"Kami hairan bagaimana lesen penternakan ini diluluskan dan adakah penternak mengikut syarat atau peraturan ditetapkan pihak berkuasa?," katanya.

Hambali Ahmad, 66, pual berkata, penduduk tidak menghalang sebarang projek penternakan ayam di kampung itu asalkan projek terbabit tidak mengganggu mereka.

"Kami tidak kisah sekiranya pihak terbabit ingin membina reban setinggi langit cuma berharap bau busuk dan lalat tidak ganggu kami, " katanya.

Seorang lagi penduduk Asron Niza Maruah, 49, berkata, dia sendiri telah menghantar surat melalui emel kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, 9 Oktober lalu.

"Saya memohon menteri besar mengarahkan semua agensi kerajaan terlibat membantu kami berhubung isu lalat ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!