Semut hurung mata pesakit meninggal dunia

Insiden semut mengerumuni mata Lodhi cetuskan kecaman di India.
Insiden semut mengerumuni mata Lodhi cetuskan kecaman di India.
A
A
A

BHOPAL - Insiden semut menghurung mata seorang lelaki yang sudah meninggal dunia di sebuah hospital kerajaan di India mencetuskan kecaman banyak pihak di Madhya Pradesh.

Susulan kejadian itu, lima doktor termasuk pakar bedah digantung tugas daripada hospital di Shivpuri terletak kira-kira 290 kilometer dari Bhopal.

Gambar yang memaparkan semut mengerumuni mata mayat pesakit yang dibiarkan di hospital berkenaan selama beberapa jam turut menjadi tular di media sosial sejak kelmarin.

"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Ia sangat memalukan dan tidak boleh ditoleransi. Saya sudah mengarahkan siasatan dan tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab," kata Ketua Menteri, Kamal Nath menerusi Twitter.

Pesakit dikenali sebagai Balchandra Lodhi yang menghidapi tuberculosis atau tibi dimasukkan ke hospital terbabit pada pagi kelmarin dan dilaporkan meninggal dunia lima jam kemudian.

Pesakit lain di wad berkenaan turut memaklumkan doktor tentang kematiannya, namun tiada sebarang tindakan dibuat.

Doktor yang mengesahkan kematiannya didakwa tidak menyentuh langsung mayatnya malah dua jururawat yang bertugas juga tidak membuat apa-apa selepas melihat keadaannya.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan isteri pesakit itu, Ramshri Lodhi terpaksa membersihkan mata suaminya yang dihurung semut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemimpin kanan Parti Kongres, Jyotiraditya Scindia memberitahu beliau menghubungi Menteri Kesihatan, Tulsi Silawat dan meminta mereka yang bersalah dikenakan hukuman tegas supaya kejadian itu tidak berulang. - Agensi