'Mana ada saya lari. Ini tanah air saya'

P Ramasamy
A
A

GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menafikan khabar angin kononnya beliau cuba melarikan diri selepas ura-ura akan ditahan polis untuk siasatan berkaitan aktiviti kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau berkata, polis mempunyai hak untuk menahannya jika mempunyai keperluan bagi membantu siasatan dan tidak timbul isu beliau melarikan diri daripada pihak berkuasa.

“Mana (ada) saya lari, saya ada di sini. Kenapa saya hendak lari? Ini tanah air saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Dialog Pengangkutan Awam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini hari ini.

Menurutnya, sejak isu penangkapan beberapa individu yang dikaitkan dengan kegiatan LTTE timbul, beliau hanya mempersoalkan mengapa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu digunakan untuk penahanan itu.

“SOSMA perlu dihapuskan. Isunya bukan kita pertikai pihak polis tetapi isunya adalah proses pengadilan kepada mereka yang ditahan di bawah SOSMA,” katanya.

Ramasamy berkata, beliau juga tetap menghormati pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad biarpun mereka berpegang kepada pendapat yang berbeza berhubung penggunaan SOSMA dalam menangani isu LTTE.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: Ramasamy mahu semua tahanan dibicara ke mahkamah terbuka

LTTE: Polis ada bukti sebelum lakukan tangkapan

Semalam, Tun Mahathir dilaporkan berkata. penggunaan SOSMA diperlukan selain terpaksa digunakan atas faktor keselamatan, lantas meminta semua pihak untuk menerima hakikat bahawa pihak berkuasa terpaksa menggunakan akta berkenaan kerana situasi berbeza.

“Dia tidak marah sama saya. Okaylah (Tun Mahathir kata) Ramasamy tidak setuju, bukan tidak gembira. Kita hormati Tun (Dr Mahathir),” kata Ramasamy.

Sehingga kini, seramai 12 individu termasuk dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014. - Bernama

LTTE: Polis ada bukti sebelum lakukan tangkapan