LTTE: Perdana Menteri puas hati tindakan polis

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dr Mahathir berkata, pihak polis sudah memberikan penjelasan kepada beliau mengenai tindakan penahanan berkenaan.

“Saya dapat penerangan daripada polis. Mereka beri sebab-sebab mereka bertindak. Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka ambil tindakan,” katanya ditemui media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Revolusi Industri 4.0 di Universiti SEGi di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai LTTE yang menjadi polemik ketika ini, termasuk dari kalangan ahli politik.

Ketika ditanya mengenai gesaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012, beliau dilihat tidak bersetuju dengan saranan itu.

“SOSMA 'still there' (masih ada). Undang-undang mengikut akta SOSMA boleh diguna pakai, jadi mereka (PDRM) guna,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir melancarkan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Universiti SEGi yang pertama untuk Industri 4.0 di universiti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Revolusi Industri 4.0 di Universiti SEGi di sini hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Revolusi Industri 4.0 di Universiti SEGi di sini hari ini.

Persidangan bertema Revolusi Global dalam perniagaan, teknologi dan produktivi itu menarik lebih 1,000 peserta, pemain industri terkemuka dan ahli akademi penceramah tempatan dan antarabangsa.

"Malaysia telah berkembang pesat dalam industri 4.0 di rantau ini dan ia telah memainkan peranan utama dalam mengubah industri.

"Kepelbagaian dalam masyarakat, potensi perindustrian pesat, industri PKS (SME) yang berkembang pesat dan infrastruktur digital menjadikan Malaysia sebagai hab antarabangsa yang berpotensi untuk pembangunan industri teknologi tinggi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: Polis ada bukti sebelum lakukan tangkapan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini menegaskan polis mempunyai bukti sebelum melakukan penahanan terhadap individu-individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan pihaknya bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya dan ia tiada kaitan dengan isu politik, kaum mahupun agama.

Menurutnya, polis juga akan mengambil tindakan terhadap mana- mana individu yang terlibat dengan kumpulan keganasan tidak kira pemimpin politik atau sebaliknya.

Minggu lalu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.