Terengganu terima RM1.28 bilion royalti minyak

 Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu telah menerima RM1.28 bilion Wang Tunai Petroleum (WTP) atau royalti minyak sepanjang tahun 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah yang diterima itu adalah nilai selepas potongan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan sebanyak 25 peratus atau RM129 juta.

Menurutnya, royalti minyak terkini yang diperoleh berjumlah RM220 juta kira-kira dua minggu lalu setelah rayuan dibuat oleh kerajaan negeri.

“Jumlah hutang asal semasa kita (Pas) mengambil alih kerajaan yang dahulu adalah lebih RM700 juta. Selepas dua kali pemotongan 25 peratus, hutang kita hanya tinggal RM300 juta lebih, kiranya tahun depan akan habis.

“Ini bermakna Terengganu akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang tiada hutang pada tahun depan kerana kita bayar secara berperingkat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, baki terkini hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan hanya tinggal lebih RM300 juta dan perlu dilunaskan pada tahun depan sebagaimana ditetapkan.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri akan berunding tentang pembayaran itu memandangkan tahun hadapan adalah tahun mencabar bagi kerajaan Terengganu kerana mempunyai komitmen sehingga RM403 juta.

“Alhamdulillah, pembayaran wang royalti untuk Terengganu berjalan lancar walaupun kurang selesa kerana terpaksa membuat pemotongan 25 peratus secara paksa dan hutang-hutang yang sepatutnya ada jadual pembayarannya, tapi kita dipaksa bayar awal.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun daripada segi jangka panjang, pembayaran itu adalah positif kepada kerajaan namun bagi kewangan negeri, tahun depan adalah tahun mencabar atas beberapa komitmen termasuk tunggakan bayaran dan bayaran berjadual untuk pelbagai projek negeri.

“Jadi kita akan hantar surat untuk kurangkan 25 peratus itu kepada kadar yang lebih munasabah. Kita akan merayu lagi. Apa-apa pun, kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana komitmen bayaran MTP,” katanya.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga masih berhutang RM1.2 bilion dengan kerajaan negeri membabitkan wang yang dipinjam untuk projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Sementara itu, mengulas mengenai royalti minyak Kelantan, beliau berkata, kerajaan Persekutuan sepatutnya memaklumkan setiap bayaran yang dibuat kepada kerajaan negeri dengan telus bagi mengelakkan salah faham.