Belanjawan 2020 merapatkan jurang ketidaksamaan

Dr Mahathir bersama Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas pembentangan belanjawan tersebut di Parlimen Jumaat lalu.
 -Foto Bernama
Dr Mahathir bersama Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas pembentangan belanjawan tersebut di Parlimen Jumaat lalu.
 -Foto Bernama
A
A
A

BELANJAWAN 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu, bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama” dengan bertunjangkan empat teras utama, iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi baharu dan era digital, pelaburan ke atas rakyat: meningkatkan keupayaan modal insan, mewujudkan masyarakat yang bersatu, inklusif dan saksama, dan memulihkan institusi dan kewangan awam.

Dengan perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM297 bilion, iaitu 18.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Daripada jumlah itu, RM241 bilion diperuntukkan kepada belanja mengurus, RM56 bilion untuk belanja pembangunan, dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Belanjawan 2020 dibentangkan ketika ramalan bahawa kemelesetan akan melanda dunia pada tahun hadapan semakin menjadi-jadi, antaranya berpunca daripada perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China yang masih belum reda dan kemungkinan tidak akan reda. Banyak negara, termasuk Malaysia menerima kesan buruk perang dagang itu.

Yang menjadi perhatian, Belanjawan 2020 dibentangkan hanya beberapa minggu selepas pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. WKB 2030 merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030 yang akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dengan luar.

Muhammed Abdul Khalid, kini penasihat ekonomi Perdana Menteri, dalam prakata bukunya The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia menegaskan bahawa meskipun Malaysia mencapai kejayaan dalam mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan, terutamanya antara kumpulan kaum dari tahun 1970 hingga tahun 1990, jurang kekayaan masih tinggi pasca-1990.

Keadaan ini hampir kekal pada tahap yang sama dalam tempoh 25 tahun lalu. Masih teruk, jurang pendapatan relatif antara isi rumah bandar dengan isi rumah desa pada tahun 2012, sama seperti pada tahun Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.

Secara sepintas lalu, dalam Belanjawan 2020, wujud usaha untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan antara golongan kaya dengan golongan miskin, antara kaum, dan juga antara penduduk bandar dengan penduduk desa.

Peningkatan kos sara hidup amat dirasai oleh rakyat, terutamanya penduduk bandar. Sehubungan dengan itu, Belanjawan 2020 mencadangkan peningkatan upah minimum kepada RM1200 sebulan hanya di wilayah bandar utama, manakala di tempat lain kekal dengan RM1100.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan masih keberatan memperkenalkan upah minimum RM1500, seperti yang pernah dijanjikan. Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan pada tahun 2019 menggantikan BR1M, diteruskan pada tahun 2020, dengan peruntukan RM5 bilion.

Usaha untuk merapatkan jurang secara lebih berkesan adalah melalui penyediaan peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih luas kerana langkah ini akhirnya membolehkan golongan berkenaan berdikari. Untuk perniagaan, Belanjawan 2020 memperuntukkan RM445 juta untuk menyokong pembangunan usahawan bumiputera.

Di bawah skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kaum Cina, Belanjawan memperuntukkan pinjaman RM100 juta, dan pinjaman RM20 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Kerajaan juga terus menyokong usahawan bumiputera dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi usahawan bumiputera baharu dengan menyediakan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dan peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau. Langkah kerajaan ini sejajar dengan hakikat pentingnya PKS dalam ekonomi negara, iaitu penyumbang utama KDNK dan menyediakan peluang pekerjaan.

Golongan bawahan biasanya terdiri daripada petani, pekebun kecil, pesawah, dan buruh. Golongan ini lebih memerlukan sokongan atau bantuan kerajaan. Tanpa sokongan dan bantuan tersebut, maka sukar bagi mereka untuk keluar daripada belenggu taraf hidup rendah.

Sesetengah negara maju memberikan bantuan atau subsidi kepada para petani sebagai galakan supaya mereka kekal mengusahakan pertanian. Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pengusaha pertanian, kerajaan memperuntukkan RM4.9 bilion, dan RM150 juta untuk membantu petani, nelayan, dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan melalui integrasi tanaman.

Namun begitu, sejauh mana segala peruntukan yang diberikan itu dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan, menimbulkan persoalan yang sedikit banyak perlu disentuh di sini. Menurut kajian, agihan pemilikan dan pengusahaan tanah yang berat sebelah dalam kalangan kaum tani sendiri juga merupakan masalah dan punca ketidaksamaan dalam kalangan masyarakat tani.

Oleh sebab perikanan memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, khususnya dari segi pembekalan bahan protein dan penyediaan peluang pekerjaan, maka kerajaan perlu membantu para nelayan supaya mereka mempunyai motivasi untuk kekal hidup sebagai nelayan.

Wujud kesan buruk, terutamanya dari segi keselamatan makanan sekiranya pesawah meninggalkan bendang mereka dan nelayan enggan turun ke laut. Dalam Belanjawan 2020, Bantuan Sara Hidup Nelayan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan.

Dari segi pengangguran, lebih daripada setengah juta orang yang menganggur pada tahun 2018, terdiri daripada 140,000 orang siswazah. Dari segi usia pula, kira-kira 290,000 orang penganggur ialah belia yang berusia hingga 24 tahun. Sehari selepas pembentangan Belanjawan 2020, Datuk Seri Mustapha Mohamed dipetik sebagai berkata, “data diperlukan untuk melihat mengapa 200,000 orang siswazah menganggur, termasuk pemegang ijazah luar negara.”

Usaha untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan tidak akan berjaya sekiranya kadar pengangguran tinggi. Selain itu, pengalaman di banyak negara menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan belia boleh mencetuskan ketidakstabilan politik dan kekacauan sosial kerana golongan ini akhirnya bertindak turun di jalanan melancarkan tunjuk perasaan.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan menyediakan beberapa insentif untuk siswazah menganggur, namun yang anehnya, mereka diberikan insentif RM500 sebulan selama dua tahun apabila mereka menerima tawaran bekerja dan bukannya ketika mereka menganggur. Pihak majikan yang menerima mereka bekerja pula diberikan insentif RM300 sebulan untuk tempoh yang sama.

Yang mencetuskan kontroversi dalam Belanjawan 2020, ialah langkah kerajaan membuka peluang kepada warga asing untuk memiliki kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual, yang dianggarkan bernilai RM8.3 bilion pada pertengahan tahun 2019.

Untuk itu, kerajaan akan menurunkan nilai ambang daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020. Langkah kerajaan ini bukan sahaja dianggap untuk menyelamatkan pemaju, tetapi juga dianggap sebagai campur tangan kerajaan dalam pasaran.

Meskipun banyak pihak dijanjikan kudap-kudapan, termasuk penjawat awam dan pesara, persoalan pokok ialah kemampuannya merapatkan jurang ketidaksamaan dan bukan semakin melebar.

***Datuk Mohd Nizar Sudin merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, UPM