Perkukuh tahap kesedaran rakyat mengenai Maqasid Syariah: Gobind

Gobind bersalaman dengan warga kerja Kementeriannya pada majlis Town Hall Kertas Putih Pertahanan dan Maqasid Syariah Peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di KKMM hari ini. -Foto Bernama
Gobind bersalaman dengan warga kerja Kementeriannya pada majlis Town Hall Kertas Putih Pertahanan dan Maqasid Syariah Peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di KKMM hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Komunikator utama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi sesi dialog awam Maqasid Syariah untuk memperkukuhkan tahap kesedaran orang ramai terhadap program dan dasar negara, kata Menterinya, Gobind Singh Deo.

"Bersama-samalah kita memasarkan maklumat dan dasar negara kepada seluruh rakyat dengan tuntas agar setiap rakyat memahaminya dengan jelas bagi mengukuhkan lagi keyakinan dan sokongan rakyat kepada kerajaan," katanya semasa merasmikan sesi dialog awam Maqasid Syariah anjuran KKMM di sini hari ini.

Sesi dialog awam yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof itu bertujuan memperincikan Maqasid Syariah untuk kefahaman yang lebih kukuh kepada komunikator utama KKMM.

Gobind berkata, beliau percaya pentadbiran negara mahupun organisasi saling berhubung kait dengan kepentingan menjaga tunggak kesejahteraan secara holistik.

Untuk itu, katanya nilai-nilai Maqasid Syariah mestilah mengiringi setiap urusan pentadbiran bagi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan serta kepentingan rakyat.

Memetik inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membawa Maqasid Syariah dalam tadbir urus, Gobind berkata, ia meliputi lima prinsip iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

"Saya difahamkan bahawa Maqasid Syariah ini yang berkonsepkan rahmatan lil alamin (rahmat sekalian alam) menjadi teras untuk kemaslahatan rakyat yang komprehensif dan inklusif," katanya.

Gobind berkata, dalam mendepani suasana iklim pentadbiran yang mencabar, perlunya pegangan prinsip yang positif untuk menjayakan agenda pembangunan yang holistik bagi mencapai objektif yang dimahukan.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua sedia maklum bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan resipi inilah dapat mengadun sebati rakyatnya hidup dengan harmoni dan saling menghormati demi kesejahteraan bersama," katanya.

Dialog awam Maqasid Syariah itu adalah sesi terakhir dalam taklimat khas Belanjawan 2020 dan isu-isu semasa selama dua hari bermula semalam yang dihadiri komunikator utama KKMM dari seluruh negara.

Tajuk-tajuk lain pada taklimat itu ialah Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Program Subsidi Petrol, Pengurusan Bencana dan Kertas Putih Pertahanan. - Bernama