Kerajaan semak undang-undang diskriminasi dalam pekerjaan

Datuk Mahfuz Omar - Foto Bernama
Datuk Mahfuz Omar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber manusia dalam tindakan menyemak peruntukan undang-undang pekerjaan iaitu khusus berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan dimasukkan di dalam cadangan pindaan Akta 265.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia selaras dengan saranan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa melalui Discrimination (Employment and Occupation) Convention No.111 (1998).

Menurutnya, cadangan tersebut juga merangkumi definisi diskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa ketidakupayaan, status perkahwinan, kehamilan dan bahasa.

"Selain daripada itu, diskriminasi yang melibatkan terma dan syarat pekerjaan dalam suatu kontrak perkhidmatan turut dilarang.

"Namun begitu kementerian tiada cadangan untuk memperuntukkan perlindungan kepada pemohon kerja untuk diliputi dalam Pindaan Akta Kerja 165," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang bertanyakan apa usaha kementerian untuk memastikan pemohon kerja dilindungi daripada segala bentuk diskriminasi.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, objektif Akta Kerja 155 (Akta 265) adalah untuk mengawal selia terma dan syarat minimum pekerjaan bagi pekerja sektor swasta berdasarkan tafsiran pekerja iaitu merujuk kepada mana-mana orang tanpa mengira pekerjaannya, telah menandatangani kontrak perkhidmatan dengan majikan memasuki kontrak perkhidmatan dengan syarat dan terma dipersetujui.

Namun begitu katanya, dalam usaha memastikan keharmonian masyarakat industri, kementerian menggesa agar tiada amalan diskriminasi di tempat kerja dalam apa jua bentuk.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian tetap akan menerima aduan yang dilaporkan dan dijadikan sebagai asas untuk jabatan memulakan siasatan berhubung sebarang isu yang berbangkit.

"Aduan juga boleh dirujuk untuk kes pertikaian perusahaan di bawah Seksyen 18, Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Jika terdapat kes-kes yang melibatkan penamatan pekerja berbangkit dari amalan diskriminasi, pekerja juga boleh memfailkan representasi di bawah seksyen 20, akta yang sama bagi pemulihan pekerjaan sekiranya pekerja diberhentikan," katanya.