Baling dilanda banjir kali ketiga

Keadaan banjir gelombang ketiga di Baling.
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 43 penduduk di Kampung Seputeh, Mukim Bakai di Baling terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) malam tadi berikutan banjir gelombang ketiga melanda kawasan itu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, kediaman penduduk dinaiki air disebabkan hujan lebat sejak jam 6 petang menyebabkan air Sungai Ulu Tawar melimpah ke kawasan penempatan penduduk berhampiran.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diarah berpindah ke Surau Al-Huda di kampung itu selepas air mulai naik sehingga mencecah paras satu meter (m).

"Setakat ini, kejadian banjir berlaku berkenaan merupakan yang ketiga dalam dalam tempoh dua minggu sahaja.

“Mangsa terdiri dari 16 keluarga diarah berpindah ke surau berkenaan selepas air naik sehingga satu meter (m) demi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Shamsul Izrin (kanan) meninjau keadaan mangsa di PPS.
Shamsul Izrin (kanan) meninjau keadaan mangsa di PPS.

Bagaimanapun,menurutnya, hanya seramai 33 mangsa dari 17 keluarga masih ditempatkan di surau kampung berkenaan sehingga jam 11 pagi tadi.

"Sebahagian mangsa pula telah pulang sementara ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah bersama agensi kerajaan dan sukarelawan dalam program pasca banjir," katanya.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Md Zain Baharum berkata, setakat ini, keadaan di Alor Setar terkawal, bagaimanapun Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa bersiap sedia 24 jam.

"Kami membuat pemantauan air sungai dan mengikut bacaan paras air sungai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun situasi banjir di Alor Setar bergantung keadaan hujan yang lebat dan paras air sungai Anak Bukit dan Padang Terap.