Penjenayah bertopeng curi kambing, penternak rugi RM90,000

Suspek melarikan 104 ekor kambing baka tempatan bernilai kira-kira RM90,000 dalam kejadian di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting tengah malam semalam.
Suspek melarikan 104 ekor kambing baka tempatan bernilai kira-kira RM90,000 dalam kejadian di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting tengah malam semalam.
A
A
A

BANTING - Dua penternak kambing rugi kira-kira RM90,000 selepas 104 ekor ternakannya di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini itu dicuri sekumpulan penjenayah bertopeng tengah malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, sembilan lelaki bertindak menceroboh dua buah kandang sebelum mengugut dua pekerja warga Bangladesh berusia awal 30-an.

Menurutnya, suspek yang bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan parang itu kemudian mengikat kedua-dua pekerja terbabit.

"Suspek kemudian melarikan 104 ekor kambing baka tempatan dipercayai dengan menggunakan sebuah lori berikutan kesan tayar yang ditemui di lokasi kejadian.

"Selain itu, suspek turut mengambil barangan seperti mesin rumput, alat penimbang serta wang tunai mangsa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kandang kambing di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting diceroboh sekumpulan penjenayah bertopeng tengah malam semalam.
Kandang kambing di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting diceroboh sekumpulan penjenayah bertopeng tengah malam semalam.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri daripada ikatan tersebut kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, mangsa kemudian terus menuju ke rumah majikannya kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian untuk memaklumkan kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati suspek dipercayai adalah warga tempatan berdasarkan pertuturan percakapan mereka. Polis tidak menolak kemungkinan haiwan ternakan itu adalah untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan beberapa hari lagi," katanya.

Tambahnya, suspek giat diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Jelasnya lagi, polis meminta orang ramai menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Amir Asrah Mohamed Ariffin di talian 017-9549563 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 sekiranya mempunyai maklumat berhubung individu yang menawarkan serta menjual harga kambing tempatan lebih murah.