Misi lahirkan Agropreneur Muda industri nanas

Ruhaida (berdiri, tengah) bersama peserta Kursus Asas Tanaman Nanas di Tanjung Piai Resort kelmarin.
Ruhaida (berdiri, tengah) bersama peserta Kursus Asas Tanaman Nanas di Tanjung Piai Resort kelmarin.
A
A
A

PONTIAN - Unit Agropreneur Muda Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) terus mempergiatkan program untuk melahirkan Agropreneur Muda, sekali gus menjadikan sektor penanaman nanas moden dan dinamik.

Selari hasrat itu, Geran Agropreneur Muda (GAM) diberikan kepada agroprenuer muda berusia 18 hingga 40 tahun yang terlibat dengan tanaman nanas dalam bentuk barangan seperti racun dan baja.

Ketua Pengarah LPNM, Ruhaida Mashhor berkata, misi menggandakan hasil pengeluaran nanas negara yang disasarkan mengalami pertumbuhan dengan nilai RM530 juta tahun ini mampu dicapai dengan penglibatan lebih ramai Agroprenuer Muda.

Menurutnya, bagi program nanas tahun ini, 67 Agropreneur Muda dari seluruh negara menerima Geran Agroprenuer sektor tanaman nanas bernilai RM1.29 juta.

Katanya, untuk sektor industri asas tani (IAT) nanas, terdapat 19 peserta tahun ini dengan nilai geran berjumlah RM249,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.53 juta.

Ruhaida sewaktu merasmikan kursus Asas Tanaman Nanas di Tanjung Piai Resort kelmarin.
Ruhaida sewaktu merasmikan kursus Asas Tanaman Nanas di Tanjung Piai Resort kelmarin.

Katanya, tanaman nanas seluas 16,000 hektar pada masa kini masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan luar negara terutamanya varieti nanas MD2 yang mendapat permintaan tinggi.

“LPNM mahu lebih ramai anak muda terlibat, justeru usaha mendekati mereka dipergiatkan dengan mengadakan kursus, latihan dan turun ke ladang.

Artikel Berkaitan:

“Kursus Asas Tanaman Nanas yang dianjurkan merupakan platform terbaik memperkenalkan potensi tanaman nanas kepada golongan muda,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Kursus Asas Teknologi Tanaman Nanas siri ke-5 yang disertai 100 peserta di Tanjung Piai Resort di sini kelmarin.

Beliau berkata, LPNM komited untuk meneruskan penganjuran kursus Asas Tanaman Nanas selepas ini setelah ia berjaya dianjurkan di Selangor,Perak, Sabah dan Sarawak.

Selain itu katanya, LPNM akan meneruskan program-program perluasan tanaman nanas yang akan memberi peluang dan manfaat kepada pengusaha dan pekebun kecil di seluruh negara.

Katanya, peruntukan RM104.25 juta bagi sektor nanas untuk sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan digunakan dengan sebaiknya.

“Dengan industri nanas yang kian berkembang, LPNM berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan yang lebih untuk industri nanas bagi RMK ke -12 yang akan bermula bagi tempoh 2021-2025,” katanya.

Nilai pengeluaran industri nanas negara dijangka akan mengalami pertumbuhan positif dengan anggaran nilai 530 juta ringgit tahun ini.

Unjuran menunjukkan kadar peningkatan antara tiga hingga lima peratus berbanding tahun lalu.

Ruhaida berkata, produk nanas Malaysia berjaya menembusi 20 negara dengan nilai eksport sebanyak RM342 juta.

“Bagi 2019 kita mensasarkan peningkatan keluasan tanaman nanas kepada 16,800 hektar dengan nilai RM530 juta bagi pengeluaran negara,” katanya.

Ruhaida (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada wakil peserta kursus Asas Tanaman Nanas.
Ruhaida (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada wakil peserta kursus Asas Tanaman Nanas.

Tekad anak muda bergelar pengusaha nanas berjaya

Sementara itu, melihat pasaran tanaman nanas yang cukup besar, seorang pemuda dari Taman Desa Jaya, Johor Bahru mengambil langkah menyertai kursus Asas Tanaman Nanas sebagai persediaan menjadi pengusaha tanaman nanas berjaya.

L Raja Lingam, 35, berkata, dia berminat dengan tanaman nanas selepas melihat ladang nanas diusahakan rakannya di Kota Tinggi memberikan keuntungan lumayan.

Juruteknik kilang itu tidak melepaskan peluang menyertai kursus Asas Tanaman Nanas selepas melihat iklan di media sosial.

“Nanas boleh menjana pendapatan lumayan. Namun sebelum mengusahakannya, perlulah belajar tentang kaedah tanaman nanas dan mengetahui bantuan- bantuan disediakan kerajaan.

“Saya berazam mahu menjadi usahawan nanas berjaya dalam kalangan masyarakat India kerana bilangannya amat sedikit,” katanya ketika ditemui selepas Kursus Asas Tanaman Nanas di Tanjung Piai Resort di sini kelmarin.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia kini mengusahakan tanaman di ubi seluas 2.4 hektar di Taman Cahaya Masai.

Katanya, dia perlu bijak membahagikan masa bekerja sebagai juruteknik kilang dan berkebun.

“Saya akan menyertai lebih banyak kursus tanaman nanas selepas ini. Saya juga berharap ada bantuan diberikan kepada pekebun muda seperti saya untuk mengusahakan tanaman nanas selepas ini,” katanya.

Mohd Faizal Mohd Yusof, 35,pula berkata, dia mahu menjadi pekebun nanas berjaya dengan mendapat bantuan dan khidmat nasihat dari Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia ( LPNM).

Dia yang berasal dari Kampung Parit Mesjid Pontian pernah gagal menanam pisang seluas 2 ekar sebelum ini kerana kekurangan ilmu.

“Saya belajar daripada kesilapan lepas di mana untuk menjadi pekebun perlu ada ilmu. Sebab itu saya sertai kursus asas tanaman nanas.

“Banyak yang dipelajari daripada kursus ini terutamanya daripada aspek penanaman dan bantuan yang disediakan,” katanya.

Peserta kursus Asas Tanaman Nanas di Tanjung Piai Resort kelmarin.
Peserta kursus Asas Tanaman Nanas di Tanjung Piai Resort kelmarin.