Penjawat awam hidap kanser darah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sehingga ke hari ini Sazali (bukan nama sebenar) tidak mengetahui apakah kanser darah yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu disebabkan vape atau sebab-sebab lain.

Penjawat awam berusia lingkungan 40-an dan bertugas di Cyberjaya itu mengakui perkara berkenaan turut menjadi persoalan dalam kalangan doktor yang merawatnya dahulu.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu bersyukur kerana telah sembuh daripada penyakit kanser darah yang dideritainya itu.

“Saya memang seorang perokok yang tegar. Kalau dulu istilahnya heavy smoker. Suatu hari saya merancang untuk berhenti daripada menghisap rokok tetapi rakan-rakan mengesyorkan agar saya menghisap vape sebagai alternatif.“Seingat saya ketika itu, vape baru nak berkembang di negara ini. Setelah mencuba menghisap vape, saya kemudiannya memang berhenti merokok tetapi beralih pula kepada vape.

“Saya mula berasa tidak sihat dan lemah selepas beberapa bulan menghisap vape. Bila ke hospital, doktor mengesahkan saya menghidap kanser darah. Namun tidak dapat dipastikan apakah kanser itu berpunca daripada vape ataupun tabiat merokok saya sebelum itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, dia terpaksa mengambil cuti selama setahun bagi menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi merawat kanser darah yang dihidapinya.

Hari ini katanya, dia nekad untuk berhenti menghisap vape termasuk rokok dalam usaha memastikan kesihatannya terjamin.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Sarjana Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Megat Mohamad Amirul Amzar berharap agar budaya vaping dihentikan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, budaya vaping hanya akan membawa kepada keruntuhan akhlak dan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

“Seorang ibu berkongsi pengalaman beliau apabila anak gadisnya yang berusia 13 tahun nyaris terjebak dalam kancah penagihan vape akibat ajakan rakan sebaya.

“Dapat vape daripada kakak yang berusia dalam lingkungan 20-an dan tiada punca pendapatan tetap. Mujurlah si ibu cepat bertindak bagi menghentikan perkara ini. Ini belum vape dilegalisasikan. Kalau dah dilegalisasikan?

“Isunya bukan perbandingan antara rokok dan vape. Kedua-duanya tidak berfaedah dan memudaratkan. Tapi isu yang lebih berat ialah legalisasi vape akan membawa kepada normalisasi budaya vaping dan seterusnya membawa kepada keruntuhan akhlak dan masalah sosial,” katanya.