Turki tidak gusar ancaman sekatan kuasa Barat

Penunjuk perasaan Kurdish berarak bagi membantah operasi ketenteraan Turki di Syria. - Foto: AFP
Penunjuk perasaan Kurdish berarak bagi membantah operasi ketenteraan Turki di Syria. - Foto: AFP
A
A
A

ANKARA - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan ancaman sekatan dan embargo senjata oleh kuasa Barat tidak akan menghentikan serangan ketenteraan rentas sempadan terhadap militan Kurdish di Syria.

"Selepas melancarkan operasi ketenteraan, kami menerima ancaman seperti sekatan ekonomi dan embargo terhadap penjualan senjata. Mereka yang fikir boleh membuat Turki Tarik diri dengan ancaman seperti itu ternyata salah," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen tempatan semalam.

Menurut Erdogan, beliau telah menghubungi Canselor Jerman, Angela Merkel bagi membincangkan isu mengenai embargo senjata.

"Saya minta beliau terangkan kepada saya adakah kami benar-benar sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau adakah kumpulan militan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) telah diterima masuk ke NATO tanpa pengetahuan saya," katanya lagi.

Selain itu Erdogan turut menolak sebarang cadangan pengantaraan antara Turki dan YPG.

Kenyataan Presiden Turki itu dibuat empat hari selepas pasukan keselamatan Ankara dan militan yang menyokong Turki melancarkan serangan di Syria dalam usaha mereka untuk mengusir Kurdish jauh dari kawasan sempadan.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Syria mula memasuki bandar timur laut negara itu selepas Washington mengumumkan telah mengeluarkan pasukannya dan bekas sekutu Kurdish mencapai kesepakatan dengan Damsyik bagi membantu melawan serangan Turki.

Pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada perang Syria selama lapan tahun dan potensi tentera Syria kembali ke timur laut yang dikuasai militan merupakan kemenangan besar bagi Presiden Syria Bashar al-Assad serta sekutunya Rusia dan Iran. - Agensi

Artikel Berkaitan: