Pengumuman lanjut RTS sebelum 31 Oktober: Menteri Pengangkutan

Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengumuman lanjut berkaitan pelaksanaan Projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) membabitkan Malaysia dan Singapura akan diumumkan kerajaan sebelum berakhir bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tempoh berkenaan juga adalah sebagai mematuhi tarikh akhir ditetapkan negara republik berkenaan susulan perjanjian tambahan (SA) untuk menggantung sementara projek terbabit.

Menurutnya, pihaknya juga akan berhubung dengan Singapura kerana segala keputusan berkaitan projek ini amat memerlukan persetujuan secara dua hala dan tidak boleh dibuat bersendirian.

"Saya juga akan berhubung dengan rakan sejawat saya di negara berkenaan untuk memberi cadangan supaya pengumuman rasmi itu dibuat di Johor Bahru," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Minggu Pelabuhan Johor dan Persidangan Pelabuhan 2019 di Hotel Doubletree By Hilton di sini hari ini.

Secara dasarnya beliau berkata, pelaksanaan projek terbabit sudah pun mencapai kata putus positif sebagaimana dinyatakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan komited untuk meneruskannya.

"Kerajaan telah nyatakan mereka akan tetap teruskan projek ini. Itu adalah petanda awal sokongan dan komitmen diberikan kerajaan terhadap projek ini.

"Bagaimanapun saya tidak boleh nak berikan maklumat lanjut sebab pelaksanaannya akan diputuskan terlebih dahulu oleh Kabinet dalam seminggu atau dua ini," katanya.

Mei lalu, media melaporkan Malaysia dan Singapura secara rasmi telah menandatangani SA untuk menggantung pembinaan projek RTS sehingga 30 September tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Malaysia juga bersetuju membayar balik sebanyak RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai ini sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat penggantungan selama enam bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan minta lanjutan 6 bulan projek RTS: Anthony Loke