Peniaga guna tanda larangan merokok

Papan tanda larangan merokok telah dinaikkan di semua premis atau gerai makanan di negeri ini.
Papan tanda larangan merokok telah dinaikkan di semua premis atau gerai makanan di negeri ini.
A
A
A

KUANTAN - Papan tanda larangan merokok sudah dinaikan di semua gerai makanan di negeri ini, menunjukkan majoriti peniaga makan patuh arahan penguatkuasaan itu.

Tinjauan Sinar Harian di semua gerai makanan di sekitar daerah ini mendapati peniaga menyifatkannya sebagai satu langkah untuk menjadikan mereka lebih berdisiplin.

Malah, kelihatan beberapa perokok berada di luar kawasan kedai makan untuk merokok.

Pekerja di sebuah restoran, Muhammad Ridha Akmal Mohd Riduan,22, berkata, papan tanda larangan itu sudah lima bulan dinaikkan sejak restoran terbabit dibuka.

Menurutnya, namun masih ada perokok yang tidak menghiraukan larangan terbabit sehinggalah kerajaan mengeluarkan arahan secara rasmi.

“Tapi sekarang saya lihat mereka (perokok) dah mula faham dan akur dengan itu selepas ia berkuat kuasa semalam.

“Kalau ada yang merokok di dalam kedai, biasa kita akan maklumkan bahawa gerai atau restoran ini tidak membenarkan sebarang aktiviti merokok,” katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Jelasnya, dengan adanya larangan sedemikian, persekitaran restoran lebih bersih dan pelanggan yang mengunjungi gerai itu akan merasa selesa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelanggan biasanya ada pelbagai peringkat usia contohnya, warga emas, wanita, kanak-kanak dan bayi, jadi bila tiada perokok mereka selesa berada di dalam kedai.

Sementara itu, pemilik gerai makan, Mohd Baharom Embun, 50, berkata dia akan melarang pelanggannya daripada merokok dalam premis kedai itu.

Katanya, setakat ini mereka semua menghormati larangan terbabit yang telah ditampal di premis perniagaannya.

“Kalau ada yang minta untuk hisap rokok saya bagi tapi kena tiga meter dari kedai. Kalau ada yang masih ingkar, saya akan cuba nasihat cara baik untuk kebaikan semua.

“Saya juga beri kerusi pada perokok di luar kedai, supaya mereka boleh duduk sebentar sementara merokok, asalkan mereka tidak merokok di dalam kedai,” katanya.

Jelasnya, peraturan itu tidak menjejaskan operasi perniagaannya, malah pelanggan makin ramai mengunjungi gerainya itu.

Sementara itu, seorang perokok, Asmadi Abdullah, 42, bersetuju dengan arahan larangan merokok di premis makanan dan dia menghormati peraturan yang ditetapkan.

“Saya lihat baguslah arahan larangan merokok di premis makanan dipatuhi dan saya berpuas hati. Adanya peraturan seperti ini, saya dan perokok lain akan berhenti merokok terus,” katanya.