Kedah tumpu pembangunan seimbang: Mukhriz

Mukhriz (tengah) merasmikan Majlis Penutup Festival Jualan Deepavali Peringkat Negeri Kedah Tahun 2019.
Mukhriz (tengah) merasmikan Majlis Penutup Festival Jualan Deepavali Peringkat Negeri Kedah Tahun 2019.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pembangunan seimbang perlu diberi perhatian di Kedah, bukan hanya dari sudut material semata-mata, bahkan turut mengambil kira pelbagai aspek tanpa meminggirkan peranan mana-mana pihak termasuk golongan kurang bernasib baik.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keadaan itu bagi memastikan Kedah bukan hanya mampu membangun dari sudut fizikal, sebaliknya selari dengan pembangunan nilai dan intelek dalam mewujudkan pembangunan lebih mampan.

Beliau juga turut menggesa rakyat bersatu dan bekerjasama mengejar matlamat dan cita-cita, di samping memiliki nilai moral dan etika murni, bersatu-padu, bertolak ansur dan penyayang untuk sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi.

"Kita mahu Kedah tidak hanya membangun dalam bidang ekonomi sahaja, malah mengharapkan negeri kita maju dalam semua bidang, baik politik, sosial, kerohanian, mahupun mutu kehidupan warganya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Festival Jualan Deepavali Peringkat Negeri Kedah Tahun 2019 di Amanjaya Mall.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Masyarakat India, R Summugam.

Mengulas mengenai kaum minoriti khususnya India di negara ini, beliau turut melihat kaum tersebut memainkan peranan penting dalam membangunkan sosioekonomi di negara ini.

Ini kerana katanya, populasi masyarakat India di Malaysia pada tahun ini mencecah seramai 6.7 juta orang iaitu 6.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan syabas kepada pihak Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Kedah bersama Agenda Suria Communication Sdn Bhd selaku penganjur program Festival Jualan Deepavali Peringkat Negeri Kedah Tahun 2019 kerana berjaya menghimpunkan 40 peniaga dengan menawarkan harga jualan lebih rendah.

Katanya, festival sepanjang tiga hari itu dilihat berjaya menyediakan pelbagai pilihan barangan pada kadar berpatutan dan secara tidak langsung mengurangkan beban perbelanjaan persediaan menyambut Deepavali.