Isu kelewatan bonus MDSB selesai

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR

Suee Lim
Suee Lim
A
A
A

SABAK BERNAM - Isu kelewatan pembayaran bonus sebulan gaji yang membelenggu kakitangan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akhirnya berjaya diselesaikan.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, semua kakitangan MDSB menerima pemberian bonus yang dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing sejak semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa prihatin soal kebajikan kakitangan awam agar diberi perhatian serius.

"Walaupun ada kekangan dari segi pentadbiran, pengurusan dan sebagainya, tetapi saya yakin berkat usaha semua pihak dan keprihatinan kerajaan negeri perkara ini dapat diselesaikan," katanya kepada Sinar Harian.

Suee Lim berkata, beliau percaya bahawa kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Amirudin Shari tidak sesekali membiarkan kakitangan awam berdepan masalah terutama dalam membuat persiapan sesi persekolahan tahun 2019.

Justeru, katanya, menerusi insentif sedemikian, beliau berharap warga kerja MDSB meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

"Pemberian bonus ini dapat memberikan suntikan semangat kepada seluruh warga kerja MDSB agar bekerja dengan bersungguh-sungguh pada masa sekarang dan akan datang," katanya.

Sinar Harian 28 Disember tahun lalu melaporkan, kerajaan negeri diminta membantu menangani isu kelewatan pemberian bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan MDSB.

Artikel Berkaitan:

Suee Lim berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya akan memanjangkan perkara itu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.