Pengguna jalan raya terkejut ular sawa melintas

Ular sawa sepanjang tiga meter yang menyusuri jalan berhampiran lampu isyarat Tesco awal pagi tadi. Foto: Ihsan pembaca
A
A

KOTA BHARU - Pengguna jalan raya di Jalan Sultanah Zainab di sini awal pagi tadi dikejutkan dengan kehadiran ular sawa sepanjang kira-kira 3 meter yang melintangi jalan berhampiran lampu isyarat ke pasar raya Tesco.

Reptilia itu disedari berada di atas jalan tersebut pada jam 2.30 pagi menyebabkan ada pengguna yang memberhentikan kereta secara mengejut bagi mengelak daripada terlanggar haiwan itu.

Seorang pemandu kereta, Ahmad Zakaria Fauzi, 25, berkata, dia sebelum itu memandu kereta jenis Perodua MyVi bersama dua lagi rakannya melalui jalan hadapan bangunan Sapura menuju ke lampu isyarat untuk ke Tumpat.

Katanya, sebelum sampai ke lampu isyarat berkenaan dia ternampak ular tersebut dan memberhentikan kereta secara mengejut.

“Sikit lagi nak tergilis ular terbabit dan saya kemudian mengundurkan kenderaan untuk melalui jalan itu dengan mengelak daripada menggilis haiwan tersebut.

“Saya dan rakan-rakan tidak turun dari kereta kerana takut dengan haiwan itu dan nampak ular tersebut bergerak perlahan menyusuri dari kiri ke kanan jalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Menurutnya, ada pengguna lain termasuk penunggang motosikal turut mengelak hingga hampir terbabas kerana terkejut dengan kehadiran ular sawa tersebut.

“Saya tidak menunggu lama dan terus memandu meninggalkan lokasi itu untuk pulang ke rumah di Tumpat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelia Pusat Kawalan Operasi Daerah Kota Bharu, Leftenan Pertahanan Awam Mohd Safiyan Ibrahim berkata, pihaknya sedia maklum dengan kehadiran reptilia berkenaan.

“Kami tidak menerima laporan berhubung penemuan ini, namun sedia maklum selepas melihat perkongsian daripada orang awam.

"Reptilia ini dianggarkan sepanjang tiga meter dan seberat 40 hingga 50 kilogram.

“Saya meminta orang ramai di kawasan sekitar supaya berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terlihat reptilia ini selain laporkan segera kepada pihak berkenaan ke talian 999 untuk menangkapnya,” katanya.