Dua lelaki cuba perdaya polis ditahan

Anggota polis sewaktu melakukan tangkapan di Masjid Geliga, tengah malam tadi.
Anggota polis sewaktu melakukan tangkapan di Masjid Geliga, tengah malam tadi.
A
A
A

KEMAMAN - Tindakan dua lelaki memperdaya polis dengan memberi alasan kehilangan motosikal membawa padah apabila mereka ditahan selepas nombor pendaftaran kenderaan dikatakan hilang itu adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, apabila anggota kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) bertugas menerima maklumat tentang kehadiran kedua-dua lelaki berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan di dalam kawasan Masjid Geliga.

Menurutnya, tidak lama kemudian, anggota polis berkenaan sampai di masjid itu dan mendapati kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 31 tahun itu berada di hadapan ruang legar masjid.

“Anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan fizikal terhadap mereka, namun tidak menjumpai apa-apa barang salah.

“Bagaimanapun, semasa membuat pemeriksaan, mereka cuba memperdaya polis apabila mengatakan mereka kehilangan motosikal. Setelah pemeriksaan melalui MCAD, kita dapati nombor motosikal yang diberitahu adalah nombor palsu,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Hanyan, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk pemeriksaan dan hasil semakan mendapati, suspek banyak terlibat dengan kejadian pecah rumah sebelum ini.

Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan morphine.

Mereka kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyalahgunakan dadah.

Artikel Berkaitan: