Liza Hanim akui masih perlukan bimbingan guru vokal

Liza Hanim - FOTO: Rosli Talib
Liza Hanim - FOTO: Rosli Talib
A
A
A
KEHEBATAN vokal yang dimilik penyanyi Liza Hanim sememangnya diakui ramai sejak awal penglibatannya dalam dunia seni sehinggalah sekarang.

Disebabkan kelebihan itu, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, sering menjadi pilihan untuk menjayakan beberapa persembahan besar melibatkan pemuzik orkestra yang sekali gus memberikan pengalaman yang berbeza kepadanya.

Terbaru, pelantun lagu Mimpi ini bakal menjayakan National Symphony Orchestra Play Epic Screen Themes in Concert di Istana Budaya pada 1 dan 2 November depan.

“Memang sebelum ini saya banyak mengadakan persembahan bersama orkestra, namun ini merupakan kali pertama berpeluang untuk bersama-sama dengan NSO.

“Bukan satu tugasan yang mudah untuk menyanyi bersama orkestra simfoni, namun saya sukakan pengalaman ini kerana ia pasti akan memberikan sesuatu yang berbeza dalam persembahan saya.

“Setiap kali bersama orkestra, saya sering ternantikan susunan muzik yang akan mereka lakukan pada sesebuah lagu sekaligus memberikan cabaran kepada seseorang penyanyi itu,” ujarnya.

Liza yang bakal beraksi bersama Sean Ghazi dan Black itu, akan menyampikan tiga buah lagu yang terdiri daripada Merawat Luka, Asmaradana dan Gelora, duet bersama Sean Ghazi.

Akui Liza, dia bakal berdepan cabaran besar apabila diminta untuk menyanyikan lagu Asmaradana, nyanyian asal daripada Puan Sri Tiara Jacquelina yang juga merupakan lagu tema filem Puteri Gunung Ledang.

“Saya dikenali dengan penyanyi yang menyampaikan lagu-lagu balada dan pastinya tidak mudah untuk saya menyampaikan lagu sebegini. Nampak macam simple, tapi sebenarnya ia sangat menguji.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak boleh ikut cara nyanyian Tiara, sebaliknya kena tampil dengan sesuatu yang berbeza. Kita tunggu macam mana susunan muzik daripada NSO nanti.

“Insya-ALLAH saya juga akan berhubung dengan Tiara untuk meminta pandangannya sebelum menjayakan konsert ini nanti,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut.

Biarpun sudah lebih dua dekad bergelar penyanyi dan mencipta nama dalam industri, Liza masih lagi menggunakan bimbingan guru vokal setiap kali ingin menjayakan persembahan besar.

“Setiap orang walaupun sudah lama jadi penyanyi tetapi kena sentiasa buat latihan dan mendapat bimbingan daripada guru vokal untuk memantapkan persembahan vokal.

“Kadang-kadang kita selesa dengan apa yang dibuat, tetapi apa salahnya kalau cari benda baharu yang boleh bantu kita menyanyi dengan lebih baik.

“Bagi saya proses belajar dan mencari ilmu itu tidak pernah terhenti, tak kisahlah umur berapa atau sebanyak mana pengalaman seseorang itu,” katanya.