LTTE: Pengerusi DAP Melaka sahkan dua ahli ditahan

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey kok kiew mengesahkan dua ahli partinya ditahan polis kerana dipercayai turut terlibat dengan upacara perjuangan kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Betul mereka ditahan dan saya difahamkan mereka ditahan di rumah masing-masing sekitar Durian Tunggal, Alor Gajah kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya.

Memetik laporan Astro Awani, mereka yang ditahan itu merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri Melaka dan seorang Ahli Majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, kedua-duanya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Saya sahkan memang betul mereka ditahan di bawah SOSMA oleh pihak polis Bukit Aman hari ini dan ianya berkait dengan penahanan seorang Exco Melaka sebelum ini.

“Maklumat lanjut bagaimanapun saya tak boleh maklumkan lagi dan kita serahkan pihak polis jalankan siasatan,” katanya.

Khamis lalu, Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Exco kerajaan Negeri Melaka antara tujuh individu ditahan pihak polis selepas dipercayai terlibat dengan upacara perjuangan LTTE.

Artikel Berkaitan:

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong dan memiliki bahan dan mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak itu.