Beri pampasan kepada negeri: Peka

Shariffa Sabrina
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan bernilai RM771.90 juta disalurkan kerajaan bagi mempromosikan kelestarian alam sekitar dalam Belanjawan 2020 sepatutnya digunakan sebagai pampasan kepada semua negeri yang sangat bergantung kepada hasil sumber asli untuk melaksanakan pembangunan negeri.

Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya menghargai komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) melestarikan alam sekitar yang mampan dengan pembentangan peruntukan belanjawan tertinggi dalam sejarah.

Bagaimanapun, beliau menyarankan kerajaan PH mengkaji semula penyaluran jumlah peruntukan belanjawan itu supaya negeri-negeri sangat bergantung kepada hasil sumber asli dapat menjalankan moratorium ke atas hasil pembalakan, perlombongan dan apa sahaja industri mengakibatkan pencemaran sungai.

"Langkah ini sekali gus dapat memulihkan pencemaran diakibatkan kerosakan alam sekitar yang sangat nazak serta pada masa sama membuat Pindaan Akta Perhutanan 1984 dan Perhilitan (Ladang Hutan Ladang Rakyat Monokulture, Kuari dan Lombong dalam Hutan Simpan, Pembalakan di Hutan-hutan Tadahan).

"Sebagai contoh, kerajaan Pahang mendedahkan hasil cukai pembalakan diperolehi dalam tempoh lapan bulan berjumlah RM56 juta.

"Angka itu sebenarnya sangat sedikit jika dibandingkan impak kerosakan alam sekitar diakibatkan oleh aktiviti pembalakan, perlombongan dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peruntukan bernilai RM771.90 juta diperuntukkan kerajaan PH bagi mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.

Shariffa Sabrina berkata, selain mengkaji semula penyaluran peruntukan Belanjawan 2020, kerajaan PH juga harus mengambil tindakan drastik terhadap penjenayah alam sekitar atau pencemar alam secara lebih serius.

Beliau berkata, secara konklusi, kerajaan PH masih dilihat gagal memperhalusi dan membetulkan isu akar umbi membawa permasalahan kemusnahan alam semula jadi di negara ini.