Penerima dana 1MDB bawah RM500,000 diburu

Latheefa Koya melakukan gimik program Menembak SPRM Bersama Media disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang diadakan di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia. -Foto Sinar Harian Rosli Talib
Latheefa Koya melakukan gimik program Menembak SPRM Bersama Media disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang diadakan di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia. -Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

KAJANG - Fasa ketiga kutipan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada penerimanya akan bermula tidak lama lagi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kutipan fasa ketiga meliputi dana RM500,000 dan ke bawah.

“Kita akan pergi kepada fasa ketiga mengutip semula wang 1MDB daripada penerimanya (nilai RM500,000 ke bawah)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Menembak SPRM bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang hari ini.

Sebelum ini, SPRM bertindak memulakan fasa pertama dengan membuat permohonan perlucutan hak yang difailkan ke atas penerima dana berkenaan yang masih mempunyai wang dalam akaun.

Fasa kedua pula, SPRM meminta penjelasan daripada penerima semula dana tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai kesediaan bekas Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak untuk tampil bekerjasama bagi membantu siasatan dana 1MDB, Latheefa bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya rasa berkenaan kes-kes masih berjalan, tidak boleh bagi apa-apa maklumat tetapi buat masa ini apa yang kami telah lakukan ialah menyerahkan kompaun notis kepada entiti dan wakil entiti dengan individu," katanya.

Menurutnya, SPRM telah memberi tempoh dua minggu kepada penerima kompaun notis daripada tarikh serah notis.

Artikel Berkaitan:

"Terpulang kepada mereka sama ada mahu buat rayuan atau memohon masa yang lebih untuk membuat bayaran balik.

“Kita akan tunggu Nazir Razak untuk beliau berkongsi maklumat tapi kita tak boleh menyatakan butiran lanjut mengenainya buat masa sekarang," katanya.

Skandal penyelewengan dana 1MDB menarik perhatian dunia sehingga beberapa negara termasuk Amerika Syarikat menerusi Jabatan Kehakimannya

memulakan tindakan terhadap beberapa syarikat dan individu terbabit.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut didakwa di mahkamah terhadap dakwaan salah laku dana tersebut.