Polis siasat dakwaan dua beranak didera dalam tahanan

Abdul Hamid merasmikan Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat PDRM 2019 di Bukit Aman hari ini.
Abdul Hamid merasmikan Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat PDRM 2019 di Bukit Aman hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan siasat dakwaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bahawa seorang bapa dan anak lelakinya ditahan secara salah dan didera dalam tahanan polis di Kangar, Perlis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau menggesa Suaram supaya tampil dan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

"Tampil ke depan dan saya akan pastikan siasatan dijalankan.

"Selalunya dakwaan sebegini, sebelum laporan polis dibuat, pihak dalaman secara automatik akan ambil siasatan awal. Siasatan dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan itu memang prosedur operasi standard (SOP)," katanya selepas Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat PDRM 2019 di Bukit Aman hari ini.

Program yang disertai seramai 720 pegawai dan anggota itu turut dihadiri Pengarah Pengurusan, Datuk Abd Rahim Jaafar.

Terdahulu, Suaram mendakwa seorang bapa dan anak lelakinya telah berada dalam tahanan dari 21 hingga 25 September di Kangar.

Malah Suaram turut mendakwa bahawa polis telah gagal melakukan siasatan sebelum menangkap kedua-dua individu terbabit.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, beliau menyambut baik rancangan kerajaan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahanan polis di seluruh negara untuk mengelakkan tuduhan yang tidak diingini kerana kematian seseorang dalam tahanan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan CCTV, ada yang dapat membantu kami untuk membuktikan bahawa beberapa kematian berlaku dalam tahanan adalah kerana sebab-sebab yang tidak dijangka," katanya.