Tapak lupus sampah haram di Ulu Yam ditutup

Bangsal yang menjadi kawasan rehat tapak pelupusan sampah haram itu dirobohkan MPS dalam satu operasi di Ulu Yam di sini.
A
A

BATU CAVES - Tapak pelupusan sampah haram di Ulu Yam di sini ditutup Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam satu operasi yang diadakan semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, tempat takungan air dan pagar atas tanah Lot 46244 Jalan Ulu Yam itu dirobohkan dalam operasi melibatkan 95 anggota penguat kuasa itu.

Menurutnya, tiga struktur bangsal yang menjadi tempat berteduh pekerja turut dimusnahkan.

"Operasi ini dijalankan berikutan daripada aduan orang awam yang diterima oleh MPS mengenai pembuangan sampah haram.

"Penguatkuasaan ini adalah di bawah Seksyen 46(1)a Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Status tanah ini masih di bawah siasatan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara 1965 kerana melanggar syarat nyata tanah," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan selepas penguatkuasaan pihaknya membina halangan melalui lubang dan meletakkan bongkah batu di kawasan itu.

Halangan bongkah dan lubang yang dikorek bagi memastikan kawasan itu tidak diceroboh untuk aktiviti tapak sampah haram.
Halangan bongkah dan lubang yang dikorek bagi memastikan kawasan itu tidak diceroboh untuk aktiviti tapak sampah haram.

"MPS tiada kompromi melibatkan isu pencerobohan tanah dan tapak sampah haram. Orang awam boleh menyalurkan maklumat jika mengesan aktiviti itu berlaku dalam kawasan mereka.

"Ia memudahkan siasatan dan tindakan susulan selain pemantauan berkala yang dilakukan," katanya.

Katanya, tindakan tegas oleh MPS dan PTD Gombak akan dikenakan ke atas pemilik tanah sekiranya didapati bersalah.