Pahang dapat manfaat langsung daripada Belanjawan 2020

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan peruntukan kira-kira RM810 juta khusus untuk kebajikan masyarakat Felda adalah satu berita menggembirakan kepada peneroka di negeri ini.

Menurutnya, ia termasuk RM100 juta untuk bekalan air Felda dan RM70 juta bagi perumahan generasi baharu.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 43,124 peneroka Felda serta anggota keluarga mereka yang berada di tanah-tanah rancangan Felda di negeri ini.

"Selain itu, peruntukan RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menaik taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan berselari dengan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan sebuah lagi kawasan perindustrian di negeri ini," katanya.

Wan Rosdy berkata, satu kawasan berhampiran Pelabuhan Kuantan seluas kira-kira 1,215 hektar akan dibangunkan sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP).

"Usaha menaik taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan sudah pasti menjadi penggalak tambahan kepada bakal-bakal pelabur untuk mendirikan kilang mereka di KIIP selain kawasan perindustrian lain yang berdekatan seperti di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, 2 dan 3.

"Selain itu, dengan adanya infrastruktur lebih baik di Pelabuhan Kuantan, ia sudah pasti melancarkan lagi aktiviti pengangkutan keluar masuk bahan-bahan serta barangan di pelabuhan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, ia juga termasuk aktiviti mengangkut produk-produk untuk dieksport ke luar negara melalui Pelabuhan Kuantan terutama ke China.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyambut baik pengumuman membina klinik kesihatan baharu termasuk di Cameron Highlands bagi menampung keperluan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan sedia ada di Tanah Rata.

"Semoga segala yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke arah Kemakmuran Bersama ini dapat direalisasikan khususnya di negeri ini," katanya.