Pelajar tingkatan tiga maut tersepit pintu kelas

Keadaan pintu yang pecah dan menyebabkan kaca menikam leher mangsa. -Foto Ihsan IPD Petaling Jaya
Keadaan pintu yang pecah dan menyebabkan kaca menikam leher mangsa. -Foto Ihsan IPD Petaling Jaya
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas tersepit pada pintu kaca dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah swasta berhampiran Taman Sains Selangor, Kota Damansara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.32 tengah hari tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa yang berusia 15 tahun bersama rakannya bergurau untuk menutup pintu kelas mereka.

"Mangsa telah menolak pintu kaca hingga pecah dan kepalanya terhantuk sehingga menyebabkan leher tertikam kaca pintu tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Zani berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan mangsa bersama tiga rakannya berada di dalam kelas sewaktu kejadian itu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani proses bedah siasat lanjut berhubung kejadian itu,"katanya.

Artikel Berkaitan: